MENCARI MURSYID

MENCARI MURSYID PEWARIS NABI SEBENAR


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


FASAL 4 :  SYARAT MURSYID PEWARIS NABI YANG SIDDIQ


Berikut adalah syarat-syarat seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq diambil dari fatwa Ulama-ulama terulung Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.  Perhatikan sungguh-sungguh semua syarat-syarat ini, dan ambillah pengajarannya.


Syarat Pertama :  Mempunyai Silsilah Sehingga Rasulullah

Beliau termasuk di dalam 'rantaian' pewaris Nabi iaitu yang dipanggil Silsilah Rasulullah .  Maksudnya beliau telah menerima Ijazah kebesaran Shaikh daripada Shaikhnya yang telah menerima daripada Shaikhnya dan seterusnya ke atas dan keatas sehingga bertemu Rahmat-Al-lameen,  Sayyidina Wa Maulana Muhammad .

Ini merupakan satu dari tanda-anda  BENARNYA  seorang Shaikh Pewaris Nabi. Sebagaimana kami menyebutnya berulangkali, “ Cahaya Silsilah Rasulullah bukan rekaan atau buat-buatan manusia tetapi ia  adalah pancaran "Nur Muhammad" yang memancar ke dalam hati para Pewaris Nabi.  Dengan pancaran Nur inilah mereka memimpin manusia lain kepada Allah Ta'ala.

Seseorang Guru yang tidak mempunyai Cahaya Nur Muhammad atau Cahaya Silsilah Keruhanian ini tidak akan mampu memimpin manusia kepada Hadrat ketuhanan kerana mereka sendiri tidak pernah dipimpin dan tidak pernah sampai ke Hadrat ketuhanan, bagaimana mungkin mereka boleh memimpin orang lain..!

Seluruh Pewaris Nabi yang Siddiq, yang terkenal dan diakui seluruh Ahlus Sunnah Wal Jama’ah adalah mereka itu dari Silsilah keruhanian tertentu yang akhirnya sampai kepada Rasulullah  .  Dengan demikian Silsilah yang benar ini akan tetap terpelihara sehingga akhir zaman dan orang-orang yang menentangnya akan binasa. 

Wal Iyazubillah!

Sementara itu seseorang Guru yang mengaku Mursyid tetapi tidak dapat membuktikan kelayakannya sebagai Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq dengan menunjukkan silsilahnya sampai kepada Rasulullah , maka pengakuan ini tidak dapat diterima.  Kemungkinan orang ini adalah pendusta yang berpura-pura menjadi Guru Mursyid.

Berkata Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Muhyiddin Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu:

"Seseorang yang menjadi Shaikh kerohanian mesti memiliki lima syarat, jika tidak dia adalah penipu yang hanya memimpin kepada kebodohan.  Dia mesti sangat mahir di dalam Syari'at, sementara sangat dalam pengetahuannya di dalam haqiqat.  Dia mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu-tetamu yang datang kepadanya dengan penuh kasih sayang.  Dia juga mestilah sangat 'alim dalam halal dan haram.  Dia memimpin si Salik pada jalan ma'rifat, sebagaimana dia sendiri telah dipimpin oleh Shaikhnya, sempurna di dalam kemurahan hatinya."

[Qala'id Al-Jawahir]

Berkata Shaikh Muhammad An-Nazili Radhiallahu anhu:

"Orang yang silsilahnya tidak bersambung ke Hadrat Nabi , itu terputus dari pancaran ruhaniah dan bukanlah ia Pewaris Rasulullah     (bukan Murshid) serta tidak boleh membai'at dan tidak boleh memberi ijazah."

[Khazinah Al-Asrar]

 

Berkata Shaikh Syeikh Ahmad al-Kamashkhanawi Radhiallahu anhu:

"Semua Ulama salaf sepakat bahawa orang yang silsilahnya tidak bersambung kepada Guru-guru Toriqah sehingga Rasulullah   dan tidak mendapat izin untuk memimpin Ummat di majlis Toriqah, tidak boleh menjadi Mursyid, tidak boleh membai'at dan tidak boleh mengajarkan zikir dan amalan-amalan lain di dalam Toriqah."

[Jami' Usul Fil Aulia]

Demikianlah jelasnya setiap Guru Mursyid wajib mempunyai silsilahnya sampai Rasulullah dan beliau sendiri pernah dipimpin oleh Mursyidnya yang Siddiq sehingga wusul (sampai) kepada Allah.  Maka sesiapa mengaku Shaikh Mursyid atau Pewaris Nabi TIDAK dapat buktikan Silsilah Keilmuan sampai Rasulullah dan dia sendiri tak pernah menempuh sendiri jalan kepada Allah, maka dia BUKAN Warisatul Anbiya.

 

Syarat ke-2 :  Alim Di Dalam Syari’at

Alim di dalam Syari'at - Ilmu Fiqh, Tauhid dan Tasawwuf serta mahir di dalam Ilmu Al-Qur'an dan Hadith  Nabi .  Seorang Mursyid yang Benar adalah seorang yang sangat mahir di dalam hukum-hakam agama dan beliau mengetahui halal haram dan dapat membezakan di antara Ilmu Fiqh, Tauhid dan Tasawwuf.  Dan seluruh pimpinannya terikat kepada Al Qur'an, Sunnah dan Ijma Qias Ulama Ahlus Sunnah.

Sila rujuk dalil ini dari kata-kata Al Ghawth Imam Jilani pada Syarat 1 di atas.


Syarat ke-3 :  Mahir Selok-belok Ma’rifat

Seorang Mursyid Pewaris Nabi yang sebenar mahir (sangat dalam ilmunya) di dalam Ilmu Ma'rifat serta mampu mendidik jiwa manusia kepada ketuhanan.  Beliau mestilah seseorang yang telah terdidik dengan Ilmu Keruhanian di bawah bimbingan Gurunya yang juga Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq sehingga beliau mendapat curahan berbagai Hikmah Ilahiyyah serta kebijaksanaan.

Beliau telah sampai kepada Maqam Musyahadah penyaksian kepada ketuhanan) serta sentiasa di dalam bimbingan Rasulullah .  (Hal ini disahkan oleh Guru yang memimpinnya, BUKAN andaian sendiri atau angan-angan sendiri.)

Mursyid mesti seorang yang sangat mahir di dalam hal ehwal keruhanian, di-Kurniakan Khitob, Kasyaf dan Ilham-ilham suci oleh Allah Ta'ala untuk memimpin keruhanian murid-muridnya serta menangkis semua macam gangguan jinn dan syaitan  yang cuba menggodanya sehingga Salikin (murid) selamat sampai kepada Maqam-maqam Tauhid yang suci murni.

Alim kitab, orang kelulusan Universiti yang memiliki berbagai ijazah PhD, Ijazah, Profesor, Ahli Usuluddin, Mufti, Pegawai-pegawai Agama atau cendikiawan agama yang  lain-lain TIDAK akan mampu melakukan semua ini kerana mereka tiada pengetahuan tentang rahsia-rahsia Ma'rifat ini.  Sedangkan yang benar adalah;  Sekalian orang alim ini (alim fiqh semata) mereka sendiri memerlukan asuhan seorang Mursyid, untuk keluar dari kesyirikan (syirik khafi) dan memperoleh Maqam-maqam Tauhid yang suci.

 

Maka perhatikanlah dari dalam hati yang ikhlas, tujuan Mursyid Pewaris Nabi  yang sebenar adalah mendidik hati dan ruh kamu berdasarkan Syari'at dan Toriqat sehingga kamu  benar-benar memperoleh hati yang suci murni dari Bahrul  Ahadiyyah  (Lautan Keesaan) Allah Ta'ala. Tauhid yang suci murni akan terpancar dari hati kamu tanpa sebarang syirik (syirik khafi) atau mazmumah apa pun.  Dan jadilah kamu memperoleh ubudiyyah  (ibadah yang penuh ketundukan kepada Allah)  yang benar-benar ikhlas.

 

Sifat ke-3 ini antara sifat terpenting, iaitu  Musyahadah Zat  (Penyaksian Wajah Tuhan dari pandangan ruh) dan  Pimpinan Rasulullah ﷺ   kerana tanpa sifat-sifat istimewa ini, tiada bezanya dengan ustaz-ustaz biasa atau orang alim fiqh atau alim kitab.

Berkata Sulton Auliya Imam Jilani Radhiallahu anhu:

"Seseorang tidak dapat dikatakan Ahli Sufi (Mursyid)  sehingga dia sampai ke maqam di mana dia di-Anugerahi pandangan kepada Rasulullah  di dalam mimpinya dan diberi arahan dan tegahan.  Jika keadaan ini terjadi maka hatinya akan dinaikkan ke maqam lebih tinggi serta disucikan batinnya.  Beliau seterusnya akan memperoleh kehampiran dengan Allah Ta'ala sementara tangannya di dalam pimpinan tangan Rasulullah

[Fath-Ar-Rabbaniy Wa Faidh Ar-Rahmaniy]


Syarat ke-4 : Berpegang Teguh dengan Syari’at

Sebahagian daripada Syarat yang wajib ada pada seorang Mursyid Pewaris Nabi adalah :  Tetap berpegang teguh dengan Syari’at.  Sifat ini merupakan satu lagi penjagaan yang amat penting.

Seorang Mursyid wajib mematuhi hukum-hukum yang termaktub di dalam  Al-Qur'an, Sunnah Nabi dan Ijma’ Qias Ulama.  Beliau sama sekali tidak boleh melanggar hukum Syari'at sewenang-wenangnya sama ada pelanggaran tersebut dilakukan oleh dirinya sendiri secara terang-terangan atau mengadakan atau menganjurkan perkara-perkara yang bertentangan dengan hukum Islam.  Atau terlibat di dalam menyokong Majlis Mungkar.  Semua ini TIDAK layak bagi Mursyid.

 

[Perhatian: Maksud pelanggaran hukum syariat, adalah hukum-hukum yang telah disepakati oleh Ulama-ulama Mu'tabar sebagai haram, dan bukan masalah khilafiyah.  Jika suatu hukum masih di dalam perselisihan Ulama, iaitu wujud beberapa pendapat Ulama, lalu seorang Mursyid pegang pada satu pendapat, maka ini TIDAK boleh dihukum melanggar hukum syari'at]

Jika seorang Shaikh melakukan perkara ma'siat terang-terangan atau menggalakkan muridnya melakukan ma'siat atau merelakan mereka melakukan perkara-perkara mungkar, atau dia menyokong perkara-perkara mungkar yang telah disepakati oleh Ulama Ahlus Sunnah sebagai Haram, maka orang seperti ini tidak layak diikuti sebagai Shaikh.  Bahkan para Imam kita menggelarkan mereka sebagai penipu dan pengikut iblis dan terkena Istidraj!   Wal Iyazubillah!

 

Berkata Shaikh Hujweri Radhiallahu anhu:

"Seorang Murshid (Shaikh) wajib mematuhi hukum Syariat dengan tegas tanpa berbelah bahagi.  Tugas beliau adalah untuk menerangi jalan mereka yang telah tersesat kepada kebenaran dan pimpinan yang haq.  Seorang Murshid (Shaikh) yang tidak menghormati hukum Syari'at serta tidak mematuhinya adalah diri sendirinya dalam kegelapan dan mustahil dapat menerangi jalan orang yang dipimpinnya.  Orang seperti ini bukanlah Murshid (Shaikh) tetapi pengikut syaitan dan musuh Islam.”

[Kashful Mahjoob]

 

Dengan demikian WAJIB seorang Murid  menjauhkan diri daripada orang yang mengaku Mursyid tetapi melakukan pelanggaran Syari’at terang-terangan. Bahkan HARAM mengikutinya lagi.  Umpamanya ada orang menyamar menjadi Mursyid, mengaku boleh melakukan zina, minum arak atau dosa-dosa lain dengan alasan kononnya dia telah sampai maqam tinggi, atau seseorang yang mengaku Mursyid berkata :  dia tak perlu solat, puasa, zakat dan lain-lain kewajipan kerana dia telah sampai Maqam Tuhan, maka tidak syak lagi dia adalah orang yang Zindiq.  Wal Iyazubillah.

Al-Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu menyenaraikan 11 Golongan yang mendakwa diri mereka sebagai Ahli Sufi pada zaman beliau sedangkan mereka adalah Sufi PALSU yang tertipu dengan angan-angan dan bisikan syaitan.  Mereka hanya berpegang kepada hakikat dan melanggar Syari’at sewenang-wenangnya.

Pada zaman ini terdapat lebih 10 kelompok mendakwa diri mereka sebagai Ahli Sufi, Mursyid, Ahli Ma’rifat dan sebagainya.  Tetapi mereka terang-terangan melanggar Syari’at Nabi .  Mereka campur adukkan falsafah orang kafir, haqiqat palsu, ajaran bathiniah, sihir dan lain-lain lalu mendakwa mereka sebagai Ahli Sufi.  Mereka menunjuk-nunjuk berbagai keajaiban lalu mendakwanya sebagai karomah.  Mereka terpedaya dengan bisikan syaitan. Wal Iyazubillah.


Syarat ke-5 :  Da'wah -  Amr Bil-Ma'ruf Nahyi Anil Mungkar

Shaikh Mursyid adalah penyambung Risalah Rasulullah , maka sudah semestinya beliau menjunjung tinggi amanah ini.  Seorang Mursyid sangat terlatih untuk menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran melalui nasihat-nasihat, teguran-teguran dan amaran-amaran kepada murid-muridnya, masyarakat dan juga terhadap penguasa-penguasa negeri.

Sepanjang sejarah Islam, Mursyid Pewaris Nabi ini telah terkenal dengan Da'wah mereka kepada Ummat Islam.  Mereka sering memberi amaran-amaran kepada semua manusia, termasuk pemerintah-pemerintah yang melakukan pelbagai kezaliman.

 

Syarat ke-6 :  Bersifat Siddiq (Benar) Dalam Perkataan dan Perbuatannya

Seorang Shaikh yang benar adalah sentiasa BENAR di dalam perkataan dan perbuatannya.  Dia bukanlah seorang pendusta atau penipu kerana penipuan dan pendustaan adalah sifat orang munafiq.

Ini  amat berbeza dengan Ulama-ulama  As-su (ulama jahat) dan Ulama sesat yang sanggup menjual agama untuk habuan dunia dan nafsu.  Mereka sanggup menipu ummat demi mendapat kedudukan tinggi  di sisi Pemerintah atau Pemimpin.  Mereka adalah “Ulama-ulama” politik yang menjual Ayat-ayat Allah dengan harga yang murah.


Syarat ke-7 :  Tidak Mencintai Dunia

Kurang dunianya, iaitu tidak mencintai dunia atau mengejar dunia.  Hidup beliau penuh di dalam kesederhanaan.  Beliau bukan seorang yang mengejar pangkat, kemewahan atau kedudukan.  Sebaliknya hidup beliau menjauhkan segala urusan yang menghambatnya kepada keduniaan.  Pandangan dan perjuangan beliau adalah seperti perjuangan Nabi , bersifat sederhana dan memadai dengan pemberian Allah dan tiada berhenti menyeru manusia kepada Kalimah Tauhid! Demikianlah mereka mencontohi kehidupan Rasulullah dalam kepimpinan mereka dan seluruh kehidupan dan di dalam pendidikan mereka.

Seseorang yang mengaku Murshid tetapi mengumpul-ngumpul kekayaan atau hidup mewah di atas harta yang ditagih dari murid-muridnya, tidak boleh dikatakan Murshid yang haq, sebaliknya dia adalah hamba dunia dan nafsu!

Imam Asy-Sya'rani Radhiallahu anhu berkata:

“Di antara tanda benarnya seorang Mursyid adalah; Tidak menyalah-gunakan amanah para muridnya, tidak menggunakan harta benda mereka dalam bentuk dan kesempatan apa pun dan juga tidak menginginkan apa yang ada pada mereka.

[Lawaqihul Anwaar al-Qudsiyah].

 

Penjagaan:

(1)  Lain halnya, jika seorang  Mursyid itu  memperoleh kemudahan-kemudahan berupa kebendaaan atau lain-lain dari sumbangan ikhlas muridnya atau dari orang-orang lain, maka ini tidak menjadi kesalahan.  Ertinya kemungkinan Allah Ta’ala melimpahkan kekayaan harta kepada setengah-setengah Mursyid.  Walau bagaimanapun seseorang Mursyid yang Siddiq TIDAK  sama sekali terpengaruh dengan kekayaan yang Allah melimpahkan padanya.  Beliau akan tetap dan terus ubudiyyah dan khidmat kepada Ummat, tanpa henti.  Bagi mereka ada atau tiadanya dunia sama sahaja.   Jika Allah Ta’ala Kurniakan kepada mereka harta yang banyak, mereka melihat Allah lalu sedekahkannya kepada faqir miskin.  Jika tiada harta mereka tetap melihat Allah dan Redha dengan Ketentuan-Nya.

 

(2)    Setengah Auliya Allah yang menduduki Maqam yang

sangat tinggi, mungkin kelihatan pada zahirnya hidup mewah dengan kediaman yang besar dan pakaian yang hebat-hebat.  Namun semua bentuk kemewahan yang terlihat tidak sedikit pun menyebakan kelalaian hati mereka, sebaliknya mereka sentiasa di Hadratul Quddus menyaksikan Wajah Zat Yang Maha Agung.  Kediaman besar mereka lazimnya digunakan untuk Majlis-majlis Ilmu atau Majlis Zikir mereka, bukan untuk kepentingan mereka.  Wang ringgit mereka sekaliannya disedekahkan kepada faqir miskin.  Hati mereka tidak sedikit pun terikat dengan harta duniawi.  Oleh yang demikian, murid pada Jalan Ma’rifat hendaklah sentiasa sangka baik kepada Masyaikh kita ketika dihadapkan hal-hal demikian.

 

Syarat ke-8 :  Lemah Lembut dan Penyayang Kepada Orang Beriman

Mursyid yang Siddiq memiliki sifat kasih sayang dan lemah lembut kepada manusia di dalam pergaulan serta mencontohi segala akhlaq Nabi.  Beliau mencontohi Rasul di dalam mendidik Ummat kepada ketuhanan.  Beliau sangat penyabar dan lemah lembut di dalam pergaulan sesama manusia tanpa mengira pangkat atau darjat manusia.  Walau bagaimanapun beliau sangat tegas di dalam mendirikan hukum agama.  Beliau tidak akan tolak ansur ketika Agama Allah di-Permainkan atau hukum Allah dipersendakan.

 

Beliau mungkin memarahi seseorang yang melanggar hukum Agama.  Ataupun seseorang yang sangat keras hati,  atau menyombong diri.....  semua ini  bertujuan mendidik,  bukan kemarahan kerana nafsu.  Namun beliau bukanlah orang yang selalu di dalam keadaan demikian.  Inilah yang disebut oleh Imam Jailani dengan kata beliau: "Dia (Murshid) mestilah sangat lemah lembut dalam perkataan dan tingkah lakunya kepada yang berhajat, selalu memuliakan tetamu-tetamu yang datang kepadanya dengan penuh kasih sayang."

[Qala’id Al-Jawahir]

 

Al Imam Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani Radhiallahu anhu adalah Mursyid Pewaris Nabi yang unggul, yang benar-benar mencontohi keperibadian dan Akhlaq Rasulullah .  Beliau terkenal dengan sifat lemah lembut kepada tetamu dan orang-orang beriman.  Beliau sangat pemurah kepada yang memerlukan.  Beliau sering makan bersama faqir miskin dan muliakan hamba-hamba Allah yang dipandang hina.  Namun ketika hukum Allah di-Permainkan, beliau TIDAK akan tolak ansur.  Beliau akan segera "memotong" tangan-tangan yang cuba merobek hukum-hakam Syari'at.  

 

Suatu ketika Khalifah yang memerintah di Baghdad melantik Menteri yang tidak layak menduduki posisi sebagai Hakim.  Maka segera Shaikh berkhutbah dari mimbar:

"Engkau telah melantik pegawai yang paling zalim sebagai "hakim"  atas orang beriman.  Apakah jawapan engkau nanti apabila engkau dihadapkan kepada "Hakim Maha Agung" yang Memiliki Semesta alam?"  Mendengar Amaran tersebut,  Khalifah menangis ketakutan  dan terus memecat Hakim yang telah dilantiknya.”

[Qala'id Al Jawahir]

 

Syarat ke-9 : Wajah dan Perkataannya Berpengaruh Kepada Sesiapa Melihatnya

Wajah seorang Mursyid yang benar memancarkan Cahaya Keimanan sehingga orang yang melihatnya terus Ingat Allah.  Perkataannya dan gerak-gerinya juga memberi kesan yang mendalam ke dalam hati orang yang melihatnya. Sesungguhnya ciri ini  satu daripada tanda  terbesar bagi menunjukkan kebenaran seorang Mursyid Pewaris Nabi yang Benar.

Barangsiapa mencari dengan penuh keimanan dan keikhlasan, pasti menemui ciri ini pada seseorang Mursyid Pewaris Nabi yang Benar.  Orang yang memandang beliau akan membawanya kepada Ingat akan Allah Ta'ala. Bahkan hanya dengan mengingat-ingat  wajahnya membawa kepada seribu Rahmat Allah di dalam kehidupan dan menolakkan pelbagai gangguan dan bahaya!

Rasulullah ﷺ bersabda:

"Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang apabila dilihatnya, dapat mengingatkan kamu kepada Allah, percakapannya menambahkan ilmu kamu, perbuatannya (amalannya) mendekatkan kamu kepada akhirat.”
[Imam Al-Haakim ]

 

 Rasulullah  bersabda:

“ Sesungguhnya ada sebahagian  manusia menjadi kunci kebaikan dan penutup kejelekan, dan ada pula sebahagian manusia yang menjadi kunci kejelekan dan penutup kebaikan.  Maka beruntunglah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kebaikan berada di tangannya, dan celakalah bagi siapa saja yang Allah jadikan kunci-kunci kejelekan berada di tangannya.”

[Imam Ibnu Majah]

 

Rasulullah   bersabda:

“Sebaik-baik kamu adalah apabila dia dilihat, membawa mengingat Allah.”
[Imam Ibnu Majah]

 

Para Ulama Ahli Sunnah yang Arif mentafsirkan bahawa yang dikehendaki dengan Hadith-hadith tersebut adalah Mursyid yang mewarisi Rasulullah  dengan kebenaran.  Kamu melihat tanda-tanda ini dan merasai kesannya dalam hati kamu, lalu datang keyakinan yang teguh bahawa inilah Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq yang kamu mencari selama ini. 


Syarat ke-10 : Terkenal di Tempat Jauh

Seorang Mursyid Pewaris Nabi  yang Benar akan dikenali oleh mereka yang jauh dari tempatnya. Allah Taala akan memberikan Ilham dan Petunjuk kepada manusia untuk mencari hamba-hamba Allah ini walaupun dari jauh. Ulama-ulama meletakkan syarat ini sebagai membezakan dengan Guru palsu atau penipu.  Ini kerana lazimnya Guru yang penipu akan sedaya upaya mengawal muridnya supaya tidak terbocor rahsia kejahatannya.  Salah satu cara adalah dengan mengongkong mereka dengan dakwaan-dakwaan palsu.

 

Demikianlah kami himpunkan 10 syarat yang wajib ada pada seorang Shaikh Mursyid atau Ahli Sufi atau Ahli Ma'rifat atau  Warisatul Anbiya' yang Siddiq (Benar).  Syarat-syarat ini diambil daripada Wali-wali Allah 0yang terkenal;  di  antaranya Al Ghawth Al-A'zhom Qutb Rabbani Shaikh Muhyiddin Abdul Qodir Jilani, Shaikh Abu Hasan Asy Syazili, Shaikh Junaid Al Baghdadi, Shaikh Ahmad Kamasykhanawi,  Shaikh Hujweri,  Shaikh Yahya Al-Kholidi dan lain-lain. Mudah-mudahan ianya menjadi panduan berguna bagi pencari-pencari kebenaran atau jalan menuju Allah yang haq.

 

Para Wali Allah, Ulama Pewaris Nabi yang Siddiq telah meletakkan garis panduan yang cukup lengkap dan penuh sistematik.  Semua syarat, peraturan dan adab yang disusun itu adalah berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul. Mereka BUKAN menetapkannya mengikut nafsu.  Mereka adalah hamba-hamba Allah yang takut kepada Allah, mereka musyahadah Wajah Allah (menyaksikan Wajah Allah) pada setiap saat sehingga setiap suatu yang mereka memperbuat adalah di dalam Keredhaan Allah.

 

Maka sayugianya, jangan ada yang cuba pertikaikan peraturan yang telah ditetapkan.  Ada kalanya setengah perkara yang mereka susun tidak sesuai dengan pendapat aqal atau nafsu kita, tetapi mereka lebih arif berkenaan apa yang diperlukan oleh Ummat.


SUMBER:

MENCARI PEWARIS NABI YANG SIDDIQ

( Fasal 4 : ms 139 - 154 )

Susunan

Shaikh Sayyid Abu Tohir

Mursyid Silsilah Naqsyabandiah Al-Kholidiyyah 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Haqiqat La-Ilaha Illallah

  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Ringkasan Syarahan Kitab Sirrul Asrar ...