PUASA

 

MUHASABAH DIRI: TIGA TINGKATAN ORANG BERPUASA

Susunan

Shaikh Sayyid Abu Tohir

Mursyid Silsilah Naqsyabandiah Al-Kholidiyah


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


             لْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَنْعَمَنَا بِنِعْمَةِ اْلإِيْمَانِ وَاْلإِسْلاَمِ

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الْفَاتِحِ لِمَا أَغْلَقَ وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ, نَاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ الْهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ الْمَسْتَقِيْمِ وَعَلىَ آلِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارُهُ عَظِيْمٌ


✨🕌✨Firman Allah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan  atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertaqwa”

[Al-Baqarah (2) : Ayat 183]


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda : 

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ، قَالَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ : إِلاَّ الصَّوْمَ، فَإِنَّهُ لِى وَأَنَا أَجْزِى بِهِ، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِنْ أَجْلِي

“Seluruh amal manusia dilipatgandakan satu kebaikan dibalas dengan sepuluh hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Taala berfirman:  “Kecuali puasa. Sesungguhnya ia hanya untuk-Ku, dan Akulah yang akan membalasnya. Dia meninggalkan syahwat dan makannya ikhlas karena Aku.” 

[Imam Muslim]


1.0 Sinopsis

1.1 Pendekatan, cara menyambut, cara perlaksanaan puasa oleh orang2 beriman adalah berbeza2 mengikut Tingkatan Iman / Tauhid / Ma'rifatnya.

1.2 Hasil yang diperoleh daripada puasa oleh orang2 beriman adalah mengikut ketinggian darjat Iman / Tauhid / Ma'rifat seseorang. 

1.3 Secara umumnya, terdapat tiga tingkatan orang berpuasa berdasarkan tiga Tingkatan Iman / Tauhid /Ma'rifat  

Pertama :

Tingkatan orang awam


Kedua :

Tingkatan Salikin / Muridin / Murid yang menempuh Jalan Ma'rifat dengan bimbingan Shaikh Mursyid


Ketiga  :

Tingkatan Arifin / Arif Billah


 1.4 Orang awam mematuhi sekalian hukum-hakam syari'at (fiqh) tetapi tidak memerhatikan syarat2 hati iaitu tasawwuf.  Maka  TIDAK sampai kepada matlamat Taqwa kerana tiada jalan sampai ke sana.  


 1.5  Salikin / Murid pada Jalan Ma'rifat berusaha sungguh2 memelihara kedua2nya bahagian agama iaitu syari'at zahir (fiqh) dan  syari'at batin iaitu tasawwuf.  Maka hasilnya lumayan jauh lebih banyak dari orang awam.  Mereka menuju ke matlamat Taqwa.


 1.6. Ahli Ma'rifat menghayati ruh puasa bersama kehadiran Ilahi kerana telah diKurniakan oleh Allah Maqam kesempurnaan Taqwa.   (Maqam Kesempurnaan Taqwa sama dengan Maqam ihsan / Maqam Mukasyafah / Maqam Tauhid Zat yang tahqiq.)


Bersambung siri 2     اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


Perhatian penting:

Tujuan kita di sini BUKAN menilai individu atau kumpulan.  Tujuan Risalah kecil ini adalah bertujuan melihat diri dan muhasabah diri. In shaa Allah


Bersambung siri 2     اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️

Siri 2 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


2.0 Muqaddimah


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertaqwa”


💫🌻Saat ini amat baik untuk kita muhasabah diri...

✍Sudah bertahun lamanya kita berpuasa Ramadhan dan sambut Idul Fitr, apakah yang kita peroleh?

✍Puasa berganti puasa, Ramadhan berganti Ramadhan, Idul Fitri pergi dan kembali saban tahun... apakah hasilnya ? 

✍Apakah yang kita bawa setelah selesai Ramadhan dan Idul Fitr? 

✍Sejauh manakah kita memahami  makna dan hakikat “puasa Ramadhan” dan hakikat “Idul Fitr”? 


💫🌻Saat ini amat baik untuk renung diri....

✍Kita telah berpuasa sekian lama, barangkali sudah puluhan tahun..... 

Adakah ianya menjadi Ibadah yang tulus ikhlas atau sekadar memenuhi adat kebiasaan tahunan…?

✍Apakah rahsia, hikmah dan tuntutan sebenar Allah Ta'ala menjadikan puasa di bulan Ramadhan dan Idul Fitr...?


💫🌻Mari kita muhasabah sebelum kita menerima hisab...


3.0 Anggapan Berbagai Golongan Ummat Terhadap Ramadhan dan Idul Fitr


Cara Menyambut Ramadhan :

(1) Ada sebahagian Ummat ini bergembira dengan kedatangan Ramadhan kerana di bulan Ramadhan rezeki melimpah ruah.

(2) Ada sebahagian lagi sukacita kerana pada bulan Ramadhan segala macam juadah dapat dinikmati. 

(3) Bagi peniaga2, ini musim kegembiraan kerana bulan Ramadhan menjadi medan mencari keuntungan berganda2.

(4) Bagi si abid (orang yang gemar mencari pahala di dalam ibadah) Ramadhan adalah lubuk menggandakan pahala yang banyak. 

 

Sambutan Idul Fitr :

Idul Fitr (atau disebut Hari Raya oleh kebanyakan kita) pula disambut dengan berbagai cara.  

(1) Membanyakkan pakaian2 baru, sehingga sebahagiannya menyiapkan berpuluh pasang pakaian untuk menyambut Hari Raya.

(2) Bergembira dan berseronok dengan makan minum.

(3) Berbelanja2  banyak untuk berkelah atau bersiar2

(4) Bergembira dengan membakar mercun. 

Dan lain2 lagi mengikut cara masing2…


Alhamdulillah.....

Besarnya Kurnia Allah sehingga seluruh Ummat memperoleh berbagai kenikmatan dan kebahagiaan mengikut cara masing2, jalan masing2, pendekatan masing2. 


Alhamdulillah....

Semua keni'matan tersebut adalah sebahgian dari Kemurahan Allah yang memiliki Kurnia Yang Amat Luas.  Masing2 orang Islam merasai keseronokan dan keindahan menurut apa yang mereka menyangka itulah keni'matan yang layak mereka merasainya bagi menyambut puasa Ramadhan dan seterusnya Idul Fitr...!


Tetapi persoalannya….

Apakah itu tujuan sebenar Ramadhan dan Idul Fitr?

Apakah cara kita menyambut dan menjalani ibadah puasa itu menepati matlamatnya?

Apakah kita telah sempurnakan tuntutan Allah ke atas kita berhubung dengan tujuan puasa Ramadhan?

Atau di dalam bahasa yang lebih tepat, pernahkah kita menyelami makna, hakikat dan tuntutan Allah Ta'ala ke atas kita Ummat Nabi Muhammad mendatangkan bulan Ramadhan dan Sambutan Idul Fitr?

Untuk mencari jawapannya, mari kita menyelami Perintah Allah dan contoh dari Sunnah Rasul serta huraiannya menurut Ulama Ahlus Sunnah.


Bersambung siri 3     اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Siri 3 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


4.0 Menyelami Matlamat Puasa Ramadhan dan Idul Fitr


✨🕌✨Firman Allah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertaqwa”

[Al-Baqarah (2) : Ayat 183] 


Seluruh  Ulama Ahlus Sunnah yang benar mentafsirkan Firman Allah di atas berkenaan kewajipan berpuasa kepada Ummat Islam dengan memberikan penumpuan kepada dua ungkapan paling penting....


Perhatikan dua ungkapan tersebut....


dimulai dengan seruan lembut kepada orang2 beriman ...

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا 

"Wahai orang2 beriman...."


dan disudahi dengan suatu matlamat yang tegas.....

لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"......agar kamu memperoleh Taqwa"


Suatu pengisytiharan Agung Allah Ta’ala yang memberikan penegasan bahawa :   

Tujuan kamu berpuasa, tujuan kamu menahan lapar dan dahaga, tujuan kamu sedekah, tujuan kamu beramal beribadah banyak, tujuan kamu banyak membaca Qur’an, tujuan kamu banyak2 berzikir dan wirid di dalam bulan Ramadhan itu ….. semuanya itu hendaklah pada kesudahan puasa tersebut membawa kamu kepada TAQWA..!


Kita semua sudah biasa dengar istilah ini…. TAQWA!  Iaitu ungkapan yang diulang2 oleh Khatib pada Hari Jumaat. Atau selalu juga disebut2 di dalam ceramah2.


Tetapi apakah sebenarnya TAQWA?  Apakah hakikat TAQWA?


Jika TAQWA itu menjadi kesudahan  hasil Puasa, maka kita perlu menyelami makna TAQWA yang sebenar yang dikehendaki Allah Ta’ala.  Tidak memadai dengan hanya jadikannya slogan dan semboyan yang diulang-ulang tanpa memahami hakikatnya dan menyempurnakan tuntutannya.


Bersambung siri 4  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Siri 4 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


5.0 Pengertian Taqwa


Berikut nukilan dari Kitab Al Ghunyah Li Talibi Toriqil Haqq


🌻🕌Sabda Rasulullah ﷺ :

"Taqwa tempatnya di sini,"  Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali”

[Imam Muslim]


🌻🕌Ibnu Abbas رضي الله عنه  berkata : 

“Orang bertaqwa adalah yang takut terjerumus dalam syirik, dosa besar dan perbuatan keji.” 


🌻🕌Ibnu Mas’ud رضي الله عنه   berkata : 

…..ketika menafsirkan firman Allah surat Ali Imran ayat 102, “Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa kepada-Nya.” Beliau mengatakan, :  “Hendaklah Dia (Allah) ditaati dan tidak dimaksiati, diingat serta tidak dilupakan, disyukuri dan tidak diingkari.” 


🌻🕌Ibnu Umar رضي الله عنه  berkata :

 “ Taqwa adalah melihat diri sendiri tidak lebih dari orang lain.” 


🌻🕌Imam Hassan رضي الله عنه  berkata : 

“Taqwa adalah orang yang mengatakan kepada setiap orang yang dia lihat, “dia lebih baik dariku.” 


🌻🕌Sayyidina Umar Al-Khattab  رضي الله عنه berkata kepada Ka’ab al-Akhbar  رضي الله عنه, 

“beritahu kepadaku tentang taqwa. Beliau berkata, “Apakah engkau pernah melalui jalan yang berduri?”  “ya” jawab Umar.  “kemudian apa yang engkau lakukan?”  Sayyudina Umar menjawab, “aku akan menghindari dan menjauhinya”  Ka’ab pun berkata, “ Itulah taqwa” 


🌻🕌Shaikh Bakr Bin Abdullah رضي الله عنه berkata : 

“Seseorang tidak disebut bertaqwa sampai dia benar2 bersikap berhati2  dalam makanan dan kemarahan.” 


🌻🕌Shaikh Sufyan Ath-Thawri رضي الله عنه berkata :

“Orang yang bertaqwa adalah orang yang mencintai kecintaan orang lain seperti mencintai kecintaan sendiri.


🌻🕌Shaikh Al-Junaid رضي الله عنه  berkata : 

“Orang yang bertaqwa adalah orang yang mencintai kecintaan orang lain lebih daripada mencintai kecintaan diri sendiri.” 


🌻🕌Shaikh Sirri Saqthi رضي الله عنه  berkata : 

“Orang yang bertaqwa adalah orang membenci diri sendiri”  (membenci segala maksiat, kejahatan, kesyirikan, kekejian dan kelalaian diri -  pent) 


🌻🕌Shaikh Muhammad bin Khafif رضي الله عنه berkata : 

“Taqwa adalah menghindari segala sesuatu yang menjauhkan engkau dari Allah” 


🌻🕌Shaikh Abu Yazid Al-Bustami  رضي الله عنه  berkata : 

“Orang bertaqwa adalah orang yang menjauhi segala yang syubhat.”


🌻🕌Ibnu Athiyyah رضي الله عنه  berkata :

 “Orang yang bertaqwa boleh diketahui dari keadaan lahiriah dan batiniahnya. Keadaan lahiriah dengan selalu memelihara hukum2 Allah dan batiniahnya selalu berniat dan melakukan segala hal dengan tulus dan ikhlas.” 


🌻🕌Sulton Auliya, Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jailani  رضي الله عنه, menyimpulkan bahawa : 

“TAQWA” adalah perhimpunan sekalian  sifat2 kebaikan.  Dan Taqwa yang benar adalah mempertahankan diri untuk mentaati Allah yang Maha Perkasa Lagi Maha Mulia.”  


~ tamat petikan kitab ~

[Nukilan dari kitab Al-Ghunyah Li Talibi Tariqil  Haqq, Imam Jilani]


Bersambung siri 5     اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Siri 5 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


6.0 Rumusan / Fakta2 Pengertian Taqwa


Isyarah  (pengertian yang mendalam) yang disabdakan oleh Rasulullah ﷺ berkenaan Taqwa.  Kemudian diikuti dengan sekian banyak pengertian dan  tafsiran yang diberikan oleh Ulama2 kita, di sini kita dapat rumuskan beberapa fakta penting berhubung dengan TAQWA.  


Pembukaan pengertian Taqwa yang disabdakan oleh Junjungan Rasulullah  ﷺ


🌻🕌 Rasulullah   ﷺ  bersabda:

Taqwa tempatnya di sini, -Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali”

[Riwayat  Imam Muslim]


Simpulan pengertian Taqwa oleh Sulton Auliya Shaikh Abdul Qodir Jilani رضي الله عنه

🌻🕌 Sulton Auliya, Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jailani  رضي الله عنه, menyimpulkan bahawa : 

“TAQWA” adalah perhimpunan sekalian  sifat2 kebaikan (yang diredhai oleh Allah).  Dan Taqwa yang benar adalah mempertahankan diri untuk mentaati Allah yang Maha Perkasa Lagi Maha Mulia.”  


📗✒ Fakta Pertama:  TAQWA itu bersemi di dalam dada (hati/jantung sanubari)

Rasulullah ﷺ menunjukkan ke arah dada, ini bermaksud kepada jantung sanubari atau yang biasa disebut HATI.  Ertinya TAQWA itu rahsia yang tersimpan di dalam HATI.  


📗✒ Fakta Kedua:  TAQWA itu cahaya Rabbaniyyah (Ketuhanan) :

Menurut Ahli Ma'rifat, yang dimaksudkan oleh Rasulullah ﷺ adalah cahaya Rabbaniyyah (Cahaya Ketuhanan) di dalam HATI  (jantung sanubari),  Ertinya TAQWA itu adalah cahaya Ketuhanan yang memenuhi HATI dan memancar keluar dari  HATI sehingga seluruh anggota zahir dan batin disinari cahaya tersebut.   Aqal fikirannya disinari cahaya Ketuhanan.  Perkataannya, perbuatannya, pemikirannya,  tingkah lakunya disinari cahaya Ketuhanan, bahkan seluruh kehidupanya disinari cahaya Ketuhanan.   


📗✒  Fakta Ketiga :  Cahaya Ketuhanan yang menimbulkan TAQWA terhasil dari Proses Penyucian diri.

Seseorang hamba TIDAK akan memperoleh cahaya Ketuhanan yang membawanya kepada  TAQWA melainkan dia melalui beberapa proses penyucian HATI.   Di dalam hati bersarang berbagai penyakit ma'nawiyyah iaitu  syirik khafi (syirik tersembunyi),  mazmumah (sifat2 keji), ghaflah (kelalaian)  dan aghyar  (selain Allah).


Semua jenis penyakit ini (syirik khafi, mazmumah, ghaflah dan dosa2)  menyebabkan hatinya berkarat dan kotor.  Hati yang kotor menyebabkan seseorang itu terhijab (terdinding) dan jauh dari Allah Ta'ala.  Maka HATI itu mesti disucikan dari semua jenis penyakit ini, iaitu syirik khafi, mazmumah, dan dosa2.  sehingga apabila telah benar2 bersih, maka hati itu bersedia menerima cahaya Ketuhanan yang indah2 kegemilangan yang menerbitkan TAQWA. 


📗✒  Fakta keempat:  TAQWA bukan teori.

Taqwa BUKAN sekadar melafazakan ucapan2 hebat, BUKAN sekadar menceritakan (teori) sifat2 kebaikan atau akhlaq,  BUKAN sekadar syarahan kata2 indah bermadah,  BUKAN sekadar  menempelkan lambang2  kebaikan di atas  tubuh, BUKAN gelaran atau pangkat.  Tetapi TAQWA yang sebenar adalah penghayatan HATI dan RUH akan himpunan sifat2 kemuliaan yang diredhai Allah.


📗✒  Fakta ke Lima:  TAQWA bukan hafal ayat2, Hujjah2:

TAQWA tidak akan lahir dengan sekadar hafalan2 kitab (walaupun di satu sudut pandang hafalan itu sangat baik dan dituntut),  TAQWA juga bukan sekadar mahir di dalam  ilmu2 fiqh (walaupun mahirkan diri dengan ilmu fiqh itu fardhu kifayah), BUKAN hafal teori sifat 20,  BUKAN mahir debat hujjah2 Agama,  tetapi TAQWA lahir dari HATI yang telah disucikan daripada sekalian syirik khafi (syirik tersembunyi), mazmumah (sifat2 keji) dan aghyar (selain Allah).  Ertinya HATINYA sudah benar2 bersih suci dari najis2 ma'nawiyyah. 


Bersambung siri 6     اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Siri 6 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

sambungan....

6.0 Fakta2 Penting  Taqwa

📗✒ Fakta keenam:  TAQWA sebenar bukan menunjuk2 wara' / pakaian lusuh:

TAQWA  itu juga  bukan menunjuk-nunjuk sifat wara' seperti jalan tunduk, berjalan perlahan-lahan, berkata2 dengan lembut yang memikat hati orang,    memakai pakaian lusuh buruk, rambut kusut masai, naik kenderaan buruk,   tinggal di rumah2 buruk dsb.  

Tetapi TAQWA yang sebenar akan melahirkan sifat tawadhu, rendah diri hormati orang tua, mengasihi orang muda dan semua akhlaq terpuji secara luhur dan secara semulajadi yang bersih, ertinya dari dalam dada (hati)

Rasulullah ﷺ, adalah insan yang paling tinggi TAQWA nya, namun Baginda adalah orang yang paling segak, kemas, rambut tersisir rapi,  menunggang kuda yang pantas...!


📗✒  Fakta ketujuh:   Madrasah Ahli Sufi - Proses Penyucian HATI kepada TAQWA.

Madrasah Sufi/ Ahli Ma'rifat adalah institusi Penyucian jiwa/ hati yang sebenar yang diwarisi dari Rasulullah ﷺ,

Pakar keruhanian yang dikenali sebagai Shaikh Mursyid.   Shaikh Mursyid adalah wakil Rasulullah  ﷺ, untuk mendidik, mengasuh,  membimbing manusia menjadi hamba2 Allah yang TAQWA.  Mereka (Shaikh Mursyid) telah dipersiapkan oleh Allah Ta'ala dengan berbagai kelengkapan hati dan ruh untuk memimpin keruhanian manusia.

Shaikh Mursyid sendiri telah melalui berbagai tarbiyyah dari Guru mereka  yang merupakan Pewaris Nabi yang benar yang bersilsilah sampai kepada Rasululah  ﷺ.  

Sebagaimana Baginda Rasulullah ﷺ mendidik, mengasuh dan memimpin para Sahabat kepada kemuliaan TAQWA.  Demikian lagi setelah kewafatan Baginda,  para Sahabat pula  memimpin Tabiin kepada kemuliaan TAQWA.   Setelah berlalu zaman Sahabat (sahabat telah wafat) maka tugas pendidikan kepada kecemerlangan TAQWA berpindah kepada para Tabiin.    Setelah itu (setelah Tabiin wafat)  tugas mendidik dan memimpin manusia kepada TAQWA berpindah pula kepada Tabiit Tabbiin.  Setelah kewafatan Tabiit Tabiin, Sistem pendidikan Rasulullah  ﷺ kepada kecemerlangan TAQWA ini diwarisi pula oleh Pewaris2 Nabi seterusnya yang dikenali sebagai Shaikh Mursyid.  Sistem pendidikan murni ini berterusan turun-temurun sampai ke saat ini dan akan berterusan sampai Qiamat. 


📗✒ Fakta kelapan :  TAQWA itu berperingkat2 mengikut cahaya Iman di dada (hati) :

TAQWA itu berperingkat2 mengikut cahaya Iman di dada (hati) seseorang.    Sekurang2 TAQWA sejati adalah ketika seseorang hamba Allah sampai kepada Maqam Tauhid Af'al  iaitu Tauhid Mengesakan Allah Ta'ala pada Af'al Nya.  Pada saat ini HATI seseorang telah benar2 suci bersih dari syirik khafi  dan mazumah dalam hatinya. (rujuk semula artikel Pembahagian Tingkatan Iman).  Inilah sekurang2 TAQWA, permulaan TAQWA.  


Sebelum seseorang mencapai sekurang2 kesucian hati ini, belumlah dikatakan ada TAQWA. 


TAQWA Tingkatan Pertama : Maqam Tauhid Af'al


TAQWA Tingkatan ke-2 : Maqam Tauhid Asma'


TAQWA Tingkatan ke-3 : Maqam Tauhid Sifat


TAQWA Tingkatan ke-4 : Maqam Tauhid Zat


TAQWA Tingkatan ke-5 : Maqam Tauhid Zat Yang Sempurna.


📗✒ Fakta kesembilan:  TAQWA tertinggi adalah TAQWA Rasul, Nabi dan  Auliya Allah .   

Para Rasul, Nabi dan Auliya Allah memiliki kesempurnaan TAQWA. (TAQWA Tingkatan ke-5 : Maqam Tauhid Zat Yang Sempurna.)

Dada (hati) mereka telah dipenuhi oleh Nur Zat  Ilahiyyah  (cahaya Allah) yang gilang-gemilang dan mereka sentiasa  muwajihah  (menghadap Wajah Allah) Yang Maha Agung.  Mereka tiada lupa kepada Allah sesaat pun.  Hati dan ruh mereka telah bersih sebersih2nya dari  syirik (syirik khafi), mazumah, dosa2 atau kelalaian.  Setiap kata2, perbuatan, duduk dan diam mereka adalah Ibadah.  Kecintaan mereka penuh kepada Allah dan musnah kecintaan  selain Allah.   Inilah setinggi2 kesempurnaan TAQWA dan kesudahan TAQWA. 


📗✒ Fakta kesepuluh:  Nama lain bagi TAQWA yang sempurna ~ Ihsan:

Setinggi2 TAQWA / sebenar2 TAQWA / kemuncak TAQWA dikenali dengan  beberapa istilah lain yang mendukung intisari makna yang sama iaitu:

Maqam Ihsan 

Maqam Arifin

Maqam Sufi sejati

Maqam Mukasyafah Zat

Maqam Haqiqat Insan

Maqam Tajalli 


[Perbincangan terperinci bab Taqwa ada di dalam Risalah kami bertajuk "Taqwa Menurut Ahlus Sunnah".  Sila rujuk].


Bersambung siri 7     اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Siri 7 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


7.0 Bagaimana Puasa Ramadhan Membentuk Taqwa

Pada siri yang lalu kita telah huraikan sepintas lalu makna TAQWA, hakikat TAQWA dan bagaimana proses pembentukan TAQWA terbina di dalam HATI.


Huraian tersebut adalah qaidah umum Tarbiyyah menurut  Sistem Pendidikan Ahli Sufi @ Madrasah Ahli Sufi yang diwarisi dari Rasulullah  ﷺ .  Sistem Pendidikan Ahli Sufi meliputi berbagai pendekatan, uzlah, khilwah,  mujahadah lawan nafsu,  wirid2 tertentu  dengan penumpuan khusus kepada Zikrullah sebagai ASAS tarbiyyah HATI.  Sistem ini diwarisi turun-temurun dari Qaidah Pendidikan  Junjungan Besar Rasulullah ﷺ ke atas para Sahabah.  Kemudian para Masyaikh  (jamak bagi Shaikh Mursyid)  yang mewarisi Ilmu ini dari Sahabat ridhawanullah  telah berijtihad dari semasa ke semasa menghimpunkan kesemua Taribiyyah Rasulullah ﷺ  tersebut sebagai Suatu Sistem yang sistemetik dan lengkap. 


Di bahagian ini kita akan melihat secara khusus bagaimana puasa dan keseluruhan ibadah Ramadhan, membawa kepada penyucian HATI,  menerbitkan cahaya HATI dan menerima Curahan Cahaya  Rabbaniyyah yang menerbitkan TAQWA sebagaimana tuntutan Allah (   لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ  ).


Allah Ta'ala taqdirkan Ramadhan sebagai bulan mulia, Menghimpunkan banyak kebaikan dan anugerah, tawaran keampunan-Nya melebihi bulan2 lain, tawaran kemurahan-Nya yang tiada terbatas,  tawaran ganjaran amal berlipat kali ganda sehingga menyamai ibadah 1,000 bulan.  Sehingga apabila seseorang hamba Allah sungguh2  "Tunaikan Ibadah Ramadhan", (maksudnya sungguh2 berpuasa mengikut hukum syariat, dan adab tertib  batin hatinya serta menunaikan ibadah2 lain sepanjang Ramadhan)  maka jadilah HATI itu suci sebersih2nya. 


Persoalannya -   Bagaimanakah Proses Penyucian hati berlaku? 


Berikut adalah ringkasan jalan2 terjadinya penyucian HATI hamba2 Allah yang benar2 berpuasa dengan jiwa raganya,


Bersambung siri 8     اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Siri 8 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


sambungan....

7.0 Bagaimana Puasa Membentuk Taqwa


Pertama:

Puasa - menahan makan dan minum.

Puasa melatih menahan lapar dan dahaga.  Latihan ini adalah di antara latihan yang sangat berkesan untuk menundukkan keinginan nafsu syahwat,   nafsu ego, takabbur serta kejahatan2  nafsu yang lain.

Apabila makan minum ditahan, maka salur darah akan menjadi sempit, dan ini membawa beberapa kebaikan:


(1) Salur darah sempit melemahkan hembusan nafsu2 kejahatan. 


(2) Salur darah sempit akan menyempitkan laluan jinn syaitan mengalir bersama darah untuk bisikkan kejahatan.


(catitan : iblis dan anak cucunya syaitan yang diikat di Bulan Ramadhan.   Jinn jahat, kafir,  fasiq tetap ada dan boleh meresap dalam darah dan memasuki jantung untuk bisikkan kejahatan)


(3) Menghargai dan syukuri  Ni'mat Allah beri makan minum. 


(4) Menyedari /insafi betapa ramai lagi manusia lain disebahagian dunia tak dapat makan dengan baik dan ada yang mati kelaparan. 


(5) Kelaparan membawa ingat kepada Allah.


Jika dihalusi penerangan di atas, dapat difahami pada keseluruhannya proses pembersihan hati berlaku apabila seseorang berpuasa dengan ikhlas, sungguh2  serta mematuhi hukum dan adab tertibnya. 


Kedua:

Mendapat Keampunan sekalian dosa2nya:

Ini janji Allah dan Rasul Nya bahawa semua dosa2 (kecil) yang telah dilakukan oleh hamba2 Allah yang berpuasa diampuni kesemuanya oleh Allah Ta'ala.   [Dosa2 besar jika ada, akan hanya terhapus dengan mematuhi syarat2 Taubat Nasuha]. 


Rasulullah   ﷺ  bersabda :

"Barangsiapa berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharap keredhaan  Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu. 

[Imam Bukhari]


Ketiga :

Kebajikan berlipat kali ganda.

Pada bulan Ramadhan, Allah Ta'ala melipatgandakan ganjaran bagi semua ibadah, sedekah, fisabilillah dan apa saja kerja2  kebajikan untuk Ummat.   Di bulan2 biasa Allah Ta'ala berikan ganjaran sehingga 700 kali lipat.   Di bulan Ramadhan ganjarannya tiada terbatas ganjarannya. Hanya Allah yang menentukannya pada setiap orang. 


Rasulullah   ﷺ  bersabda :

“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman, “Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.”

[Imam Bukhari dan Imam Muslim ]


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Bersambung siri 9     اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


Siri 9 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


sambungan....

7.0 Bagaimana Puasa Membentuk Taqwa


Keempat:

Seperti Bayi yang baru dilahirkan:

Hamba2 Allah yang benar2 berpuasa, menahan diri dari kesemua perkara larangan zahir dan batin,  maksudnya BUKAN saja menahan makan minum dan jimak, tetapi jauh lebih dari itu menahan mulut, telinga, hidung, tangan dan kaki sekaliannya daripada perkara2 sia2, bahkan sebaliknya keseluruhan anggota tubuhnya berpuasa, memuji dan membesarkan Allah sepanjang Ramadhan maka dia akan memperoleh anugerah Allah yang sangat istimewa iaitu "hati yang suci bersih" laksana kain putih.    Dia seolah2 baru dilahirkan oleh ibunya.   


💫(1) Menahan makan minum, jimak dll yang batalkan zahir puasa.


💫(2) Menahan tangan, kaki, lidah, hidung, telinga daripada yang batalkan batin puasa.


💫(3) Menahan diri dari pekerjaan sia2  seperti membaca yang sia2, bercakap2 yang sia2 dsb.


💫(4) Menahan diri dari kelalaian dengan banyakkan zikir, bahkan sedaya upaya kekal zikrullah.


💫(5) Berpuasa dengan penuh keredaan dan kecintaan kepada Allah. 


Jika seseorang hamba Allah dapat melakukan kesemua usaha menahan diri zahir dan batin seperti tersebut di atas, ditambah dengan tetap hati ingat Allah, ditambah dengan kecintaan Mutlak kepada Allah, maka pada penghujung puasanya jadilah dia seperti bayi yang baru dilahirkan.  Maksudnya hatinya sebenar2 suci sebagaimana permulaan dia dilahirkan.  Atau boleh juga disebut kesucian di alam Nur ketika dia menghadap Zat Tuhan Rabbul Jalil.    Hal ini dinamakan oleh Ahli Ma'rifat sebagai  Tiflul Ma'ani  (sebangsa kanak2)


Rasulullah   ﷺ  bersabda :


Allah  Ta'ala mewajibkan puasa Ramadhan dan aku Sunnahkan  solat malam harinya. Barangsiapa berpuasa dan Solat  malam dengan mengharap keredhaan Allah, maka dia keluar dari dosanya seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya. 

[Imam Ahmad]


Dari kesemua keterangan tersebut, kita dapat memahami apabila seseorang berpuasa dengan sungguh2 dengan hati yang benar2 ikhlas, mematuhi  hukum zahir dan batin, iaitu  bukan semata2 menahan dari makan minum, tetapi jauh lebih besar dari itu menahan diri dari ucapan dan perlakuan keji  seperti mengumpat, hasad dengki, caci maki, fitnah, adu domba dll,  bahkan jauhi  kesemua perkara2 sia2,    maka dia akan menjadi insan yang bersih apabila dia keluar dari Ramadhan. Hatinya memancarkan cahaya Iman.   Hatinya ibarat kain putih yang bersih.


Maka inilah hasil puasa Ramadhan yang suci,   Inilah kesudahan / buah puasa yang benar sebagaimana yang di kehendaki Allah Ta'ala, iaitu        (   لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ  ).


Cuba perhatikan dan bandingkan kenyataan ini dengan konsep Taqwa yang telah dibincangkan sebelum ini.  Di sana akan terlihat dengan jelas sekali persamaan yang benar di antara "Matlamat puasa Ramadhan"   dengan Sistem Pendidikan Ma'rifat yang diwarisi turun-temurun dari Junjungan Besar Rasulullah ﷺ   yang bertujuan membentuk jiwa2 yang benar2 Taqwa.  


Bersambung siri 10     اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Siri 10 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


8.0 Tingkatan Pencapaian Kesucian dan Taqwa  Hasil Puasa Ramadhan


Bagi mereka yang dijanjikan dengan hasil puasa yang cemerlang kepada mencapai "kesucian" hati dan Taqwa, seperti yang dibincangkan pada perkara 7.0 sebelum ini,   adalah ia beberapa tingkatan.  Tingkatan tersebut bergantung kepada Keimanan / Tauhid yang wujud di dalam diri mereka.   Sekiranya Iman/ Tauhid  mereka di peringkat orang awam, maka mereka akan memperoleh hasil sesuai dengan- nya dan sesuai dengan  cara mereka melaksanakan puasanya.     Sekiranya mereka adalah  salikin iaitu hamba2 Allah yang menempuh  pada Jalan Ma'rifat, maka hasilnya lebih murni.   Para Arif Billah mencapai hasil paling cemerlang.  


Secara ringkas susunan tingkatan memperoleh kesucian dan ketaqwaan dari puasa adalah seperti  berikut :


(1) Tingkatan Puasa Orang Awam


Sekiranya mereka berpuasa sungguh2 menepati syarat2 zahir puasa -  menahan makan minum, jimak dll yang batalkan puasa.  Kemudian mereka juga pelihara syarat2 batin iaitu ikhlas,   jauhi semua kekejian seperti dusta, hasad dengki,  mengumpat,  fitnah, adu domba,  kata2 keji dll.   maka mereka berpeluang mencapai puasa mabrur,  kesucian hati dan Taqwa.  


Walau bagaimanapun bagi orang2 awam yang tiada pimpinan Keruhanian dari Guru Mursyid, mereka akan merasai sangat sukar untuk mencapai hasil cemerlang di dalam puasa.  Ini kerana mereka tidak mengetahui jalan2nya.  Jika mereka tahu pun teori2nya, mereka masih tertahan dari menyempurnakannya disebabkan tiada kekuatan melawan segala nafsu dan gangguan dunia.  Mereka sering tewas kepada desakan sekeliling mereka. 


Hal ini dinamakan oleh Imam Ghazali sebagai  "Puasa orang Awam"  iaitu puasa sekadar menahan diri dari makan minum dan jimak dll syarat pada hukum fiqh.  Namun mereka tewas pada mematuhi syarat2 batin.   Mereka tak mampu menahan lisan dari perkara2 yang merosakkan puasa mereka.   Apa lagi memelihara hati dari perkara2 yang merosakkan, jauh sekali. 


(2) Tingkatan Puasa Salikin


Hamba2 Allah yang  menempuh jalan Ma'rifat dengan pimpinan Guru yang arif (Shaikh Mursyid)  akan memperoleh hasil puasa yang lebih baik.  Mereka dibimbing secara zahir dan juga secara batin (keruhanian) yang tidak putus.  Dengan adanya bimbingan keruhanian, mereka mendapat berbagai pertolongan Allah berkat doa dan pimpinan Gurunya. Mereka akan lebih terarah kepada kebaikan dan terpelihara daripada perkara2 keburukan berbanding dengan orang awam.   Dengan demikian peluang mencapai kecemerlangan puasa Ramadhan adalah jauh lebih besar berbanding dengan mereka yang tiada pimpinan Guru.  


Bagi salikin terdapat tiga peringkat  Pencapaian Puasa adalah sesuai dengan Maqam Tauhid yang sedia ada di dalam dirinya, iaitu...


Maqam Tauhid Af'al

Maqam Tauhid Asma'

Maqam Tauhid Sifat


Yang dimaksudkan oleh Imam Ghazali "Tingkatan Puasa Orang Khawas" adalah salikin pada Maqam Tauhid Sifat 


Maksud di sini walaupun salikin pada peringkat di bawah belum sampai ke maqam puasa orang khawas, namun mereka tetap akan memperoleh banyak kebaikan di bulan Ramadhan sesuai dengan maqam dan mujahadah mereka.  Puasa mereka jauh cemerlang berbanding dengan orang awam yang tiada pimpinan Guru... dengan syarat :


🍁 Pertama:

Hati tetap ikhlas semata2 mencari keredhaan Allah.  (bukan mencari pahala2/ bukan menuntut ganjaran). 


🍁 Kedua:

Patuhi semua hukum syari'at dan  adab2 keruhanian.  terutama adab kepada Gurunya. 


🍁 Ketiga:

Sungguh2 mujahadah. 


Sekiranya salikin tidak mematuhi syarat2 tersebut, maka tiadalah beza dengan puasa orang awam.


Bersambung siri 11     اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Siri 11 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


sambungan...


8.0 Tingkatan Pencapaian Kesucian dan Taqwa hasil Puasa Ramadhan


(3) Tingkatan Puasa Arif Billah 


Arif Billah BUKAN lagi di dalam latihan atau mujahadah.   Mereka telah sampai ke Hadratul Quddus, Hadrat Tuhan Yang Maha Suci, menyaksikan Wajah Allah Yang  Laisa Kamithlihi Syai'un. 

 

Mereka telah menempuh perjalanan yang jauh dan panjang.  Mereka telah menempuh berbagai dugaan, cobaan, halangan dari anasir2 nafsu jahat, godaan iblis dan telah bebas dari gangguan2nya.  Mereka telah mematahkan segala rintangan dan hijab sehingga akhirnya berada di sisi Allah menikmati keharuman Ma'rifat.  


Mereka telah bebas sepenuhnya dari syirik khafi  (syirik tersembunyi),  mazmumah  (sifat keji), ghaflah (kelalaian).  Bahkan telah fana (binasa wujud diri) dan kemudian baqa (kekal berserta Allah). 


Puasa mereka mencapai kemuncak kecemerlangan kerana mereka berpuasa dengan keseluruhan diri mereka.  Setiap urat nadi, setiap aliran darah, setiap turun naik nafas kesemuanya berpuasa.  


Puasa Ramadhan  bagi Arifbillah BUKAN suatu bebanan, sebaliknya kelapangan.  BUKAN  kesempitan tetapi keluasan.  Rahmat Allah.  Pada setiap saat mereka menikmati keindahan Ramadhan.  Pada setiap saat mereka di dalam "syurga yang disegerakan",  iaitu kehidupan yang diselubungi keharuman Ma'rifat.  


Tingkatan ini yang dimaksudkan oleh Imam Ghazali sebagai "Tingkatan Puasa Khawasul Khawas". 


Jika ditanya siapakah yang mampu sampai kepada peringkat tertinggi itu?


Jawabannya:  Sesiapa saja di kalangan Ummat Islam, baik lelaki maupun perempuan. Baik Raja atau Rakyat. Baik dia kaya atau miskin, baik dia keturunan mulia atau hina, baik dia kulit putih atau hitam, baik dia Arab atau 'Ajam..  semuanya boleh mencapainya, tetapi dengan syarat....!


Apakah syaratnya?


Syaratnya kamu mesti bersedia mematuhi Peraturan dan Adab2 Jalan Ma'rifat.  


Apakah dia Peraturan dan Adab Jalan Ma'rifat?


Khazanah Jalan Ma'rifat ada pada Pewaris Rasulullah  ﷺ yang sebenar, iaitu Shaikh Mursyid yang siddiq yang mewarisi keseluruhan Agama dari Junjungan Besar Rasulullah ﷺ.


Mereka mewarisi  Ilmu Baginda zahir dan batin, turun-temurun bersilsilah perguruan sampai Rasulullah  ﷺ    .  


Kamu mesti merendahkan diri berguru kepada mereka.  Kamu mesti sedia membuang segala ego kesombongan diri walaupun kamu seorang yang sangat banyak ilmu syari'at serta sangat mahir pidato dan berhujjah. 


Kamu mesti bersedia menempuh perjuangan yang panjang.  (bukan setahun, bukan dua tahun, bahkan puluhan tahun).  Kamu mesti bersedia membuang segala kebiasaan2 kemanusiaan dan menjadi manusia "luar biasa".     


Kamu mesti sanggup khilwah , / suluk (seperti khilwah Rasulullah  ﷺ di Gua Hira')  asingkan diri dari dunia  masyarakat umum beberapa waktu, mujahadah melawan keinginan nafsu syahwat yang rendah -  kurangkan makan, kurangkan bercakap, kurangkan tidur.  Banyakkan Taubat, banyakkan zikrullah, banyakkan  solawat atas Baginda Nabi ﷺ , banyakkan solat sunnat. Semua ini dengan pimpinan Guru yang arif  (Shaikh Mursyid). 


Jika kamu benar2 ikhlas, mendirikan  hukum Sayri'at. memelihara  adab2 Jalan Ma'rifat  serta sungguh2 mujahadah mencari Dia,  maka di sana akan terbukalah Sinar Ilahiyyah.


Bersambung siri 12     اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Siri 12 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


9.0  Rahsia dan Hakikat  Idul Fitr


Setelah selesai puasa Ramadhan, seluruh ummat Islam menyambut Hari Raya Puasa yang di sebut juga 'Idul Fitr.


●Apakah yang ada pada 'Idul Fitr?

●Bagaimanakah cara menyambut 'Idul Fitr?

●Bagaimanakah orang awam menyambut Idul Fitr? Apakah bezanya dengan cara sambutannya oleh Salikin dan Arifin?

●Apakah sebenarnya rahsia yang terkandung di dalam makna "menyambut" dan "sambutan" 'Idul Fitr menurut pertimbangan Ahlul Haqq?


Sesiapa sudah memahami makna Taqwa menurut pendirian Ahlus Sunnah sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, dan sudah memahami juga puasa Ramadhan sebagai salah satu ibadah yang menerbitkan Taqwa,  maka mudah baginya memahami kaitan antara Ramadhan dan 'Idul Fitr.


Secara ringkasnya Rahsia  'Idul Fitr'  berkait rapat dengan hasil puasa Ramadhan.  Ia adalah adalah Hari Kemenangan bagi orang2 yang telah mencapai TAQWA hasil dari puasa 30 hari Ramadhan.  Atau meningkat TAQWANYA dari peringkat yang rendah kepada peringkat TAQWA yang lebih tinggi.


Ungkapan  kata “Fitr”  adalah fitrah insan Iaitu  “suci bersih” laksana kain putih atau laksana “kapas putih” atau laksana “bayi” yang baru lahir.  


Ertinya orang yang telah menyempurnakan puasanya dengan mematuhi syarat2nya yang zahir dan batin, maka layaklah dia mencapai  kesucian tersebut,  kembali kepada fitrah kejadiannya sebagaimana di alam NUR, suci dari noda dan dosa…! 


Di alam Nur, ketika “ruh” insan masih berada di sisi Allah Ta’ala, ianya sangat suci murni, tiada noda, tiada dosa.   “Ruh” insan ini menghadap Allah Ta’ala dan memujinya setiap saat.  

Maka demikianlah keadaan hamba2 Allah yang telah suci “hati” dan “ruhnya” sebaik sahaja selesai menunaikan Ibadah Ramadhan.  Keadaannya sama!  Maha Suci Allah, betapa kemurahan Allah Ta’ala kepada Ummat Nabi Muhammad…!


Namun persoalannya, adakah kita telah mendapat rahsia ini?


Orang Arif dapat melihat tanda2 " kesucian ini " pada diri seseorang hamba Allah yang benar2 telah bersih hatinya hasil mujahadah di bulan Ramadhan.


Bersambung siri 13     اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Siri 13 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


10.0 Cara menyambut  'Idul Fitr’


Cara Ummat Islam menyambut ‘Idul Fitr berbeza2 mengikut darjat / tingkatan Imannya sebagaimana juga darjat dan nilai puasa seseorang bergantung kepada tingkatan Iman dan cara dia menyempurnakan Ramadhan.    


Bagi kebanyakan orang Islam, apabila tamat bulan Ramadhan, maka telah selesailah mujahadah. Masing2 akan berasa lega kerana tak perlu mengikat perut dan kemahuan /  keinginan diri. Masing2 akan terasa bebas tak perlu terikat dengan berbagai pantang larang. 

Ini berbeza sama sekali dengan tuntutan sebenar Idul Fitr. 


Bagi Arif Billah, Ulama yang mengenal Allah dan mengetahui rahsia2 Tauhid dan Ubudiyyah, ‘Idul Fitr adalah  tabir pembukaan bagi kesucian, melaluinya akan membawa hasil mujahadahnya berterusan sepanjang bulan2 berikutnya. Ramadhan tidak tamat dengan  ‘Idul Fitr sebaliknya  ‘Idul Fitr adalah sebuah lagi pintu bermulanya kehidupan istimewa  “kembali kepada fitrah” (kesucian).    

Ertinya hikmah Ramadhan bagi hamba2 Allah yang telah suci hatinya akan berlanjutan sepanjang tahun.  Tamatnya Ramadhan tidak memutuskan mujahadah bagi ahli salikin yang menuntut Wajah Allah. 


Orang yang benar2 memperoleh TAQWA dan kemanisan UBUDIYYAH akan melihat dan memperoleh kegembiraan hasil puasanya.


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kegembiraan yaitu kegembiraan ketika dia berbuka dan kegembiraan ketika berjumpa dengan Tuhannya. 

[Imam Muslim ]


Zahir makna kegembiraan yang disebut oleh Nabi di dalam Hadith di atas biasa difahami adalah :


"mereka yang berbuka dapat meni’mati kelazatan makan minum."


Tetapi makna sebenar dari sudut keruhanian yang suci adalah sebagaimana digambarkan oleh Imam Jilani di dalam Kalam Hikmahnya :

Berkata Sulton Auliya Shaikh Muhyiddin Abdul Qadir Jilani رضي الله عه, : 


“Puasa menurut Syari’at tertakluk kepada masa dan waktu, tetapi puasa rohaniyyah waktunya adalah sentiasa dan terus-menerus sepanjang hayat di dunia hingga akhirat. Inilah puasa yang hakiki seperti yang dikenal oleh orang2 yang bersih hati dan jiwanya.  Puasa itu adalah pembersihan atas pembersihan!  


Beliau berkata lagi :


Orang berpuasa mendapat 2 keseronokan.!  Orang awam berkata bahawa keseronokan pertama ialah dapat makan dan minum.  Maksud keseronokan ‘tatkala melihat’ adalah tatkala melihat anak bulan Syawal untuk berhari raya.  Bagi orang yang Arif dengan maksud yang batin dari puasa itu berkata, bahawa keseronokan berbuka puasa ialah tatkala si Mu’min memasuki syurga dan menikmati segala yang ada di dalamnya.  Adapun maksud ‘tatkala melihat’ itu pula ialah ; apabila mereka melihat Allah dengan mata hati yang batin!" 

[Sirrul Asrar]


Syarah /  Penjelasan kata2 hikmah Imam Jilani di atas:


Pengertian “berbuka” :


Makna pertama  “berbuka”  yang biasa difahami iaitu semasa di dunia, orang yang berpuasa akan merasai kegembiraan dengan sebab menikmati makanan ketika “berbuka” (buka puasa)  dan seterusnya keseronokan dapat makan minum pada Hari Raya /  Idul Fitr 


Makna kedua, iaitu makna yang hakiki bagi orang Arif adalah :  “berbuka” adalah semasa mereka diberi ni’mat  kelazatan syurga di akhirat.


 Pengertian “melihat” :


Makna “melihat” pada orang awam adalah : Melihat anak bulan dan kegembiraan Hari Raya.


Sedangkan makna “melihat” bagi pada sisi ahli TAQWA adalah :    Melihat Wajah Allah ketika hidup di dunia ini lagi, iaitu melihat Allah melalui pandangan mata hati dan pandangan ruh dan pandangan Sirr (menurut maqam masing2) .

Inilah yang dipanggil Tauhid yang hakiki, Tauhid sebenar yang terpancar dari jiwa yang suci.    Semua orang Islam mampu mencapainya. (Tauhid yang suci murni).    Bahkan wajib berusaha sungguh2 mencapainya kerana sebelum mencapai Tauhid yang suci murni ini,  hati seseorang itu sentiasa terumbang-ambing antara Tauhid dan syirik khafi   (syirik tersembunyi).


Bersambung siri 14     اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Siri 14 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


11.0  Realiti Zaman - Kebiasaan Menyambut Ramadhan yang Merugikan


Setiap perkara kebaikan, pasti ada musuh2 yang cuba menghalangnya. Akan timbul musuh2 di dalam diri manusia dan anasir-anasir  luar cuba hapuskan kebaikan dan kelebihan yang dijanjikan, dengan cara memesongkan orang beriman dari landasan kebenaran.


Perkara2 berikut ini perlu diperhatikan oleh setiap orang beriman agar kelebihan dan keutamaan Ramadhan yang dijanjikan oleh Allah tidak terhapus disebabkan kelalaian dan musuh2 yang tak disedari.


Pertama :

Berbuka puasa di Hotel / Restoran Mewah dengan bayaran mahal. 


Satu ketika dahulu, Masjid dan surau mengadakan jamuan berbuka bagi ahli qariah setempat, musafir dan faqir miskin. Cara ini adalah amalan yang sangat terpuji. Berdasarkan berbagai sumber dalil Qur'an, Sunnah dan Fatwa Ulama, kita faham berbuka secara berjamaah seperti ini adalah sangat bermanfaat.


Namun dewasa ini, berbagai pihak menganjurkan cara berbuka puasa di hotel2 mewah atau di restoran mewah sehingga berhabisan ratusan ringgit bagi setiap orang.  

Adakah ini memenuhi syarat dan adab berpuasa?  Adakah ini caranya Allah Taala fardhukan puasa Ramadhan?  Agaknya dengan cara ini kita mampu meraih TAQWA?


Yang sebenarnya amalan seperti ini sangat merugikan ummat dipandang dari beberapa sudut pandangan.


(1) Hilang ruh puasa.


Salah satu tujuan puasa adalah melatih diri dengan  qanaah (berpada dengan yang ada), sedikitkan makanan,  banyakkan sedekah kepada faqir miskin dll.


Bayangkanlah wang yang dibelanjakan berjumlah beribu-ribu ringgit  untuk berbuka sedangkan jumlah tersebut dapat menampung perut ramai anak yatim dan faqir miskin.   Tetapi semua itu dihabiskan pada satu malam sahaja.   


(2) Menimbulkan riya' dan kesombongan


Berbuka puasa dengan bayaran mahal di hotel2 yang ternama akan menimbulkan sifat2 riya' dan takabbur. Sedangkan salah satu tujuan puasa adalah melatih diri hapuskan sifat riya' dan takabbur.


(3) Pembaziran

Berapa banyak seseorang yang dapat makan ketika berbuka? 


Mungkin separuh atau kurang dari makanan yang disediakan itu dapat dihabiskan.  Selebihnya akan terbuang begitu sahaja.  Maka jadilah pembaziran. Sedangkan membazir itu kawan syaitan. 


Kedua :

Buffet - Bercampur baur lelaki wanita


Bercampur aduk antara lelaki dan wanita ketika berbuka puasa secara “buffet”  atau berbuka ramai2 di tempat khas.  Sepanjang hari tahan lapar dan dahaga. Ketika berbuka secara “buffet”  campur aduk antara lelaki dan wanita, segala kelebihan puasa lebur bagai debu…!  


Ketiga :

Pesta Solek, Dedah aurat di Bazzar Ramadhan. 


Wanita muda (dan juga tidak ketinggalan sebahagian yang wanita tua)  berhias2 diri, bersolek, memakai pakaian dedah aurat, memakai  wangi2an ke Pasar Ramadhan.   Apa jadi kepada puasa?


Keempat :

Fitnah, Adu Domba, Mengumpat, Caci maki. 


Kebiasaan di luar Ramadhan seperti mengumpat, adu domba,  mencaci maki, memfitnah, berdusta yang diharamkan dll sepertinya tetap menjadi “makanan” di dalam Ramadhan bagi orang yang sudah terbiasa dengannya.   Dengan sifat seperti  ini, dapatkah meraih puasa mabrur dan TAQWA?


Kelima :

Kurang atau tiada sedekah kerana pentingkan diri sendiri. 


Kita dianjurkan  banyakkan sedekah dan memberi makan kepada orang berpuasa,  terutama kepada faqir miskin.  Bagaimana ini dapat berlaku jika masing2 sibuk mementingkan  makan minum yang mewah2?  


Keenam :

Kelalaian dengan muzik, drama, cakap  sia2, debat sia2.


Kelalaian dengan perkara2 yang tiada faedah,  seperti bercakap sia2,  debat sia2, menonton drama, asyik dengan muzik  dsb menghilangkan keberkatan dan nilai puasa.


Bersambung siri 15  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Siri 15 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


12.0  Realiti Zaman - Menyambut Idul Fitr yang Merugikan


Oleh kerana tidak memahami hakikat puasa Ramadhan, hakikat Idul Fitr, maka sebahagian Ummat ini menyambut Idul Fitr dengan cara2 yang tidak mempunyai ruh agama. Sebahagian lagi menyambut degan cara2 yang terang-terangan berlawanan dengan Agama.                                                                                           

(1)   Makan minum tak terkawal.


Ada sebahagian ummat melepaskan perasaan dengan makan minum yang tidak terkawal sebaik mula Idul Fitr.    Nafsu yang dilatih dan diikat dengan beberapa latihan semasa Ramadhan, dilepaskan supaya dapat kepuasan maksimum.


(2) Pembaziran pada pakaian, perhiasan dan makanan.   

Ramadhan melatih diri supaya “qanaah” (berpada), jimat cermat pada segala hal.  Tetapi pada Idul Fitr yang disebut sebagai Hari Raya, semuanya terbalik.  Wang ringgit yang berlebihan yang sepatutnya dihulurkan kepada faqir miskin dihabiskan untuk kehebatan dan kemegahan.


Ada yang bermegah2 di dalam tv, internet menunjukkan kehebatan menempah berpuluh pasang pakaian.


Allah dan Rasul-Nya tidak melarang pakaian yang serba baru mengikut kemampuan masing2.  Tetapi berpadalah. Ingatlah kepada yang lebih memerlukaBersiar-siar /melancong dengan perbelanjaan besar.


Sekali lagi, inilah salah satu penyakit ummat, terutama mereka yang mempunyai kewangan melimpah ruah.


Selepas terkurung selama sebulan , jiwa ingin mencari kedamaian di luar seperti bulan2 biasa.  Maka habislah puluhan ribu untuk tujuan melancong sahaja.


Tidaklah menjadi kesalahan untuk melancong, mengambil angin, bersiar2.  Tetapi berpadalah.  Walaupun kamu orang yang sangat kaya-raya,  jangan bakar wang sebegitu banyak semata2 untuk kepuasan diri.    Carilah yang sederhana.   Apalah salahnya bersiar2 ke tempat2 berdekatan yang tiada makan belanja besar?


4)      Berkumpul ramai2 campur  lelaki perempuan bukan mahram. 


Ini satu lagi tradisi masyarakat kita yang bertentang dengan ruh agama dan sekaligus hilangkan segala penat lelah Ramadhan.


(5)      Gambaran Negatif Media Letronik


Rancangan2 TV dan media eletronik lain menggambarkan seolah2 Idul Fitr itu adalah hari perayaan yang perlu diraikan dengan berbagai hiburan campur aduk laki wanita sehingga hilang nilai2 yang diraih hasil puasa.


Bersambung siri 16  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ

☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Siri 16 :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


sambungan.....

12.0  Realiti zaman - Menyambut Idul Fitr yang merugikan.....


(6) Istilah Rumah Terbuka.(open house)


Istilah rumah terbuka (open house) adalah tidak sesuai dengan ruh agama.


Ini kerana, asalnya ia adalah tradisi orang bukan Islam yang menganjurkan pesta makan minum dan kebebasan pergaulan antara lelaki / wanita bukan mahram.   Maka sebahgian ummat Islam meniru konsep tersebut sehingga terjadi kerosakan.  


Jika Istilah rumah terbuka dikatakan sebagai jamuan Idul fitr, maka ini mungkin lebih munasabah dan lebih sesuai. Namun apa yang lebih mustahak adalah cara menyambutnya dan niat menyambutnya.


Sememangnya sangat baik berkunjung sanak saudara untuk eratkan siratur-rahim kerana itu setengah anjuran Agama.  Namun berhati hatilah...!   Janganlah sampai berlebih-lebihan atau sampai membazir.  


Janganlah jadikan jamuan idul Fitr sebagai medan selera "balas dendam"  puasa sebulan, makan minum sebanyak2nya sehingga di luar batasan.    Sebulan Ramadhan ikat nafsu, tetapi nafsu yang diikat tadi dilepaskan untuk memenuhi segalanya sepuas2nya.


Jika demikian, mana hasil Ramadhan?  Bukankah segalanya menjadi debu...?


Inilah di antara beberapa cara dan perlakuan yang membawa kepada kerugian.  Ada di antara mereka dapat mengawal diri pada bulan Ramadhan tetapi apabila sampai Idul Fitr, segalanya amal hangus terbakar disebabkan kerakusan nafsu menyambut “Hari Raya”.   Ada yang lain pula  tidak langsung  menghayati puasa, sudah tentulah Idul Fitr tiada makna apa2 pada mereka.


Perlakuan2 seperti ini bukan sahaja menyebabkan puasa tak diterima, sebaliknya membawa kemurkaan Allah Ta’ala.  


✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِى أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta malah mengamalkannya, maka Allah tidak memerlukan dari rasa lapar dan haus yang dia tahan.”

[Imam  Bukhari ] 


 ✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشَّرَبِ ، إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ ، فَإِنْ سَابَّكَ أَحَدٌ أَوْ جَهُلَ عَلَيْكَ فَلْتَقُلْ : إِنِّي صَائِمٌ ، إِنِّي صَائِمٌ

“Puasa bukanlah hanya menahan makan dan minum saja. Akan tetapi, puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan melalaikan dan ucapan keji. Apabila ada seseorang yang mencelamu atau berbuat gangguan padamu, katakanlah padanya, “Aku sedang puasa, aku sedang puasa”.

[Imam  Ibnu Majah ]

 

✨🕌✨Rasulullah   ﷺ  bersabda :

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الجُوْعُ وَالعَطَشُ

“Betapa banyak orang yang berpuasa namun dia tidak mendapatkan dari puasanya tersebut kecuali rasa lapar dan dahaga.”

[Imam At- Thabaroni]


Moga kita terhindar dari mengikuti jalan2 kebatilan dan kesesatan yang sudah pasti mengundang kemurkaan Allah Ta’ala.


Bersambung siri 17 - akhir  اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


☘️☘️☘️🌷🌷🌷🌷☘️☘️☘️


Siri 17 - akhir :


بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


11.0 Rumusan Ringkas Hikmah Ramadhan dan Rahsia 'Idul Fitr :


💫🏆Bulan Ramadhan adalah bulan mulia penuh keberkatan,  Keampunan Allah dan Limpahan Rahmat yang tidak terhingga bagi orang2 Islam.   


💫🏆Bulan Ramadhan adalah medan mujahadah untuk menebus menebus dosa2 lalu  (dosa kecil).


💫🏆 Bulan Ramadhan adalah Madrasah menyucikan diri, peluang meningkatkan Tauhid peringkat awam kepada Tauhid hakiki yang  suci murni seperti yang dituntut oleh Allah. (Tauhid Salikin dan Arifin) 


💫🏆 Hamba2 Allah yang menunaikan puasa dan ibadah Ramadhan dengan benar ikhlas serta mematuhi sekalian syarat zahir dan batin, maka dia akan memperoleh kesucian hati, Tauhid suci murni dan Taqwa.


💫🏆Hakikat 'Idul Fitr adalah lambang kesucian insan yang kembali kepada fitrah dirinya yang suci.  Di dalam pengertian lain adalah mereka yang memperoleh TAQWA.


💫🏆Cara menyambut 'Idul Fitr yang terbaik yang dituntut adalah dengan membanyakkan zikr Allah dan memuji-Nya dan membesarkan-Nya disebabkan anugerah Rahmat yang tidak terhingga kepada kita.


💫🏆 'Idul Fitr bukan penutup bagi Ramadhan, sebaliknya ianya adalah sebuah lagi pintu kesucian kepada suatu kehidupan penuh Keimanan yang diredhai Allah Ta’ala.


💫🏆 Jauhkan diri dari cara2 berpuasa dan menyambut Idul Fitri dengan jalan2 yang tidak diredhai Allah.   Cuba buat perubahan dari sekarang.   


💫🏆Orang2 abid yang gemar memikirkan / menuntut2  pahala2 bagi setiap amalnya perlu mengubah sikapnya terhadap Allah Ta'ala. Usahakan sungguh2 mencari ikhlas dan Redha Allah.


Ahli Ma'rifat berikan perumpamaan :


Orang yang menuntut2 pahala dari Allah Taala disebabkan amal ibadahnya adalah bagaikan buruh yang menuntut upah dari majikannya.  Sementara orang yang mencari redha dan Kasih Allah adalah umpama hamba yang menyerahkan dirinya kepada Allah tanpa soal. 


Setiap orang beriman perlu belajar berubah menjadi hamba Allah bukan kekal selamanya menjadi buruh yang meminta upah dari Allah. Sedangkan diri kita pun milik Allah..... bagaimana yang tiada memiliki apa2 menuntut sesuatu dari Yang Maha Pemilik, Yang Maha Memiliki segalanya?


💫🏆 Arif Billah mencapai hasil puasa Khawasul khawas yang tertinggi diikuti oleh salikin yang sampai / memperoleh Peringkat Khawas.


Jika kamu tak mampu meraih Taqwa peringkat tinggi, usahalah agar sampai Maqam  Taqwa yang pertama iaitu Maqam Tauhid Af'al. Jangan selamanya duduk peringkat orang awam.


            ✨🏆🏆🏆✨

______________________✍


Alhamdulillah atas Limpah Kurnia Allah bagi menyiapkan Risalah kecil ini.  Moga menjadi  panduan ummat memperoleh puasa yang mabrur, kesucian hati dan Taqwa.


َللهُمَّ اجْعَلْ لِىْ نُوْرًا فِىْ قَلْبِىْ وَنُوْارًا فِى قَبْرِىْ وَنُوْارً فِىْ سَمْعِىْ وَنُوْرًا فِىْ بَصَرِىْ وَنُوْرًا فِىْ شَعْرِىْ وَنُوْرًا فِىْ بَشَرِىْ وَنُوْرًا فِىْ لَحْمِىْ وَنُوْارً فِىْ دَمِىْ وَنُوْرًا فِىْ عِظَامِىْ وَنُوْرًا مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَنُوْرًا مِنْ خَلْفِىْ وَنُوْرًا عَنْ يَمِيْنِىْ وَنُوْرًا عَنْ شِمَالِىْ وَنُوْرًا مِنْ فَوْقِىْ وَنُوْرًا مِنْ تَحْتِىْ. اَللهُمَّ زِدْنِىْ نُوْرًا وَاَعْطِنِىْ نُوْرًا وَاجْعَلْ لِىْ نُوْرًا.


اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ الْفَاتِحِ لِمَا أَغْلَقَ الْخَاتِمِ   لِمَا سَبَقَ  اَلنَّاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ الْهَادِي إِلَى صِرَاطِكَ الْمَسْتَقِيْمِ وَعَلىَ آلِهِ وَصَحْبِهِ  حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ الْعَظِيْمٌَ


اَلْحَمْدُلِلّهِ الَّذِيْ أَنْعَمَنَا بِنِعْمَةِ اْلإِيْمَانِ وَالْمَعْرِفَة

وَالْاِسْتِقاَمَةَ عَلَى الشَّرِيْعَةِ وَالطَّرِيْقَةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اَللّه عَلَيهِ وَسَلَّم


         - Tammat -

_______________________

Bimbingan :

              Shaikh Sayyid Abu Tohir

        Mursyid, Silsilah Naqsyabandiah

                     Al Kholidiyah

            MAJLIS TAZKIRAH JILANI

🌴🍁🍁🌴🌴🍁🍁🌴🌴🍁🍁🌴

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Haqiqat La-Ilaha Illallah

  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ Ringkasan Syarahan Kitab Sirrul Asrar ...