بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Kemusykilan dan Jawapan=====================
Susunan
Shaikh Sayyid Abu Tohir
Mursyid Silsilah Naqsyabandiah Al-Kholidiyah
Firman Allah :
يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ
"Allah Menghendaki kemudahan untuk kamu dan Dia tidak Menghendaki kamu menanggung kesukaran"
[Al-Baqarah (2) : Ayat 185]
Rasulullah ﷺ bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
“Solatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.”
[Imam Bukhari]
PERSOALAN :
Banyak sekali pertanyaan berkenaan tatacara mengerjakan solat duduk bagi orang yang tak mampu berdiri, di antaranya :
1. Bagaimanakah cara sebenar solat bagi orang yang tak mampu solat sambil berdiri?
2. Berapakah lama seseorang perlu berdiri sebelum dia duduk untuk sambung solat?
3. Bolehkah seseorang duduk terus sedangkan dia mampu berdiri sebentar?
4. Apakah yang dikehendaki dengan duduk untuk solat? Adakah mesti duduk atas lantai atau atas kerusi? Atau mana2 ikut suka kita duduk?
5. Apakah hukum solat duduk di atas kerusi sedangkan dia mampu duduk di atas lantai?
6. Bagaimanakah caranya Jika dia mampu duduk untuk sujud, tetapi tak mampu berdiri semula,?
7. Jika seseorang mampu berdiri dan mampu duduk di atas lantai tetapi ketika hendak sujud cuma lutut dan perut jari kaki saja mencecah lantai, anggota sujud lain tak mencecah lantai. Adakah dia masih perlu duduk di lantai atau boleh terus duduk atas kerusi?
8. Bagaimanakah cara solat jika dia hanya mampu berdiri sahaja dan tak mampu lipat kakinya untuk duduk?
9. Jika seseorang gunakan kerusi untuk solat duduk, bagaimanakah cara yang tepat untuk ruku' dan sujud?
10. Bagaimanakah kedudukan kerusi dalam saf bejemaah jika seseorang hanya mampu duduk atas kerusi dan tak mampu duduk di atas lantai?
……..dan lain² soalan yang berkait dengan tatacara solat duduk bagi orang yang tak mampu menyempurnakan solat seperti biasa.
Sebelum menjawab semua persoalan tersebut, di sini perlu melihat terlebih dahulu beberapa Asas / Prinsip / rukun dan syarat Asas Solat dan syarat bagi orang yang diberi keizinan untuk solat duduk :
1.0 Peraturan dan Syarat Penting Solat:
Pertama:
Solat Fardhu lima waktu adalah fardhu ain atas setiap mukallaf yang wajib ditunaikan dalam keadaan apa sekalipun, termasuk di dalam pelayaran, peperangan atau sakit atau lain2nya, TIDAK boleh ditinggalkan, sehinggakan jika seluruh anggotanya lumpuh sekalipun dia masih wajib tunaikan solat dengan cara gerakan di dalam hatinya.
Kedua:
Solat mempunyai Peraturan² khusus yang wajib dipatuhi iaitu Syarat2 sah dan Rukunnya (berserta syarat2 bagi setiap rukun) yang wajib dipelihara sepanjang solatnya. Setiap Muslim yang akil baligh WAJIB mempelajari setiap perkara ini dengan cara talaqqi musyafahah (berhadapan dan mengambil menerima sendiri ilmu) dengan Guru yang mahir. Tidak memadai bahkan TIDAK sah solat yang dikerjakan sekadar ikut-ikutan. Sebaik2 Guru adalah Guru Mursyid yang siddiq (benar) yang sampai Silsilah Ilmunya kepada Rasulullah ﷺ.
Ketiga:
Ketika seseorang menghadapi masyaqqah (kepayahan) dan darurah (kecemasan yang lebih berat), maka dia diberikan rukhsah (keringanan), di mana sebahagian cara2 mengerjakan solat yang dilakukan oleh orang sihat diringankan sedikit dengan berubah bentuknya. Ia BUKAN mengubah hukum, tetapi semata2 rukhsah — keringanan untuk memudahkan solat sewaktu kepayahan seperti sakit, ketakutan, di atas kenderaan bergerak dsb.
Keempat:
Asas solat adalah terdiri dari 3 macam rukun :
Rukun Qalbi (rukun hati)
Rukun Qawli (rukun perkataan)
Rukun Fi'li (rukun perbuatan)
Setiap Rukun Solat tersebut mempunyai syarat2nya yang tersendiri, maka WAJIB disempurnakan semuanya mengikut syarat2nya. Jika seseorang sengaja meninggalkan salah satu dari syarat2 yang ditetapkan, tanpa uzur yang dibenarkan oleh syara', maka solatnya menjadi batal.
Kelima:
Hendaklah diingat rukhsah (keringanan) diberikan adalah berdasarkan syarat2nya, maka wajib mengikut syarat dan susunan keringanan yang diberikan oleh syara', BUKAN sewenang2 mencari keringanan dan BUKAN sesuka hati meninggalkan mana2 syarat bagi setiap rukun.
Keenam:
Di dalam Solat, syarat terpenting bagi hati adalah khusyu'. Maka salah satu hikmah diberi keringanan kepada orang yang menanggung kesakitan / kepayahan adalah supaya dia dapat melakukan solat di dalam keadaan tenang dan tenteram dan khusyu'.
Oleh sebab itu tidak disyaratkan seseorang melakukan sesuatu pekerjaan di dalam solat sambil menanggung kesakitan semata2 hendak menunaikan solat sama seperti orang sihat. Maksudnya dia sedang sakit dan tak mampu melakukan solat seperti biasa orang sihat, tetapi dia memaksa diri sambil menanggung kesakitan. Cara seperti ini tidak dianjurkan walaupun sah solatnya.
Ini kerana khusyu dan tenang di dalam solat adalah syarat hati di dalam solat. Jika seseorang susah payah menanggung kesakitan semata2 kerana mengikut cara2 orang sihat, sedangkan hatinya tidak khusyu, maka cara solat seperti ini juga tercela. Allah Ta'ala telah Kurniakan keringanan tetapi dia sengaja mencari kepayahan sehingga tidak khusyu solat, maka ini suatu kerugian.
2.0 Syarat Bagi Orang Yang Solat Duduk:
Ketika seseorang sakit dan menghadapi kepayahan untuk berdiri, maka kelayakan seseorang mengerjakan solat sambil duduk adalah seperti berikut:
(1) Hendaklah sedaya upaya cuba untuk berdiri walaupun sebentar untuk melakukan Takbiratul Ihram. Sebahagian Ulama menegaskan : Jika dia mampu berdiri dengan berpegang kepada tali atau menampung dengan tongkat atau lain2nya, maka hendaklah dia usahakan untuk berdiri — jika dia TIDAK menanggung kesakitan. Sebaliknya jika dia menghadapi kesulitan yang berat sehingga menanggung kesakitan, atau ditakuti penyakitnya bertambah teruk, maka TIDAK lah disyaratkan demikian.
Selepas melakukan Takbiratul Ihram, dia boleh duduk jika dia tak kuasa berdiri lagi.
Dan duduknya itu hendaklah di atas lantai (tempat berdiri untuk solat) dan BUKAN duduk atas kerusi seperti yang dilakukan oleh sebahagian orang pada zaman ini. Ini kesalahan yang batalkan solat.
Perhatikan baik²:
Menurut syarat asal, sujud mesti dikerjakan dengan meletakkan 7 anggota badan pada lantai. Orang yang duduk atas kerusi takkan dapat sempurnakan semua syarat tersebut. Maka batallah solatnya jika dia mampu duduk di lantai tetapi sengaja duduk atas kerusi.
Demikian lagi rukun lain seperti duduk antara dua sujud, tahiyyat akhir, bacaan tahiyyat akhir, solawat dan salam yang mana semua ini wajib dikerjakan dengan duduk atas lantai tetapi takkan dapat disempurnakan jika dia duduk atas kerusi.
Jika dia tak kuasa langsung duduk di atas lantai disebabkan suatu kecederaan pada kakinya, atau kecederaan pada punggungnya atau sebab2 lain sehingga dia terhalang dari duduk di atas lantai, maka ketika itu barulah dia dibenarkan duduk atas kerusi atau katil atau pangkin atau lain2 seperti nya. — rujuk penerangan lagi seterusnya.
(2) Jika dia mampu melakukan Takbiratul Ihram dan mampu lagi menyambung bacaan surah Al- Fatihah, maka dia WAJIB terus berdiri untuk membacanya sehingga dia tak kuasa lagi berdiri, maka ketika itu diharuskan duduk. Umpamanya dia hanya dapat membaca tiga ayat dari Surah Al-Fatihah, kemudian dia mendapati tak kuasa berdiri lagi, maka ketika itu harus duduk.
(3) Jika dia benar2 tak kuasa untuk berdiri walaupun sebentar untuk melakukan Takbiratul Ihram, maka ketika itu diharuskan duduk untuk mulakan solat dengan Takbiratul Ihram. Maksudnya jangan dipaksa lagi jika dia tak kuasa berdiri.
Hendaklah diingat baik2 :
Jika seseorang mampu berdiri untuk mengangkat Takbiratul Ihram, tetapi dia terus duduk dan melakukan Takbiratul Ihram, maka BATAL solatnya.
(4) Pilihan pertama bagi orang yang tidak berkuasa berdiri adalah duduk di atas lantai (tempat orang berdiri untuk solat) dan BUKAN duduk atas kerusi sebagaimana yang umum dilakukan orang pada zaman ini. Selagi mampu duduk di atas lantai hendaklah dia sempurnakan Solat dengan duduk di atas lantai.
Bagaimanakah cara duduk di atas lantai ?
Orang yang duduk atas lantai dibenarkan duduk iftirasy atau tawwaruk. Jika tak kuasa demikian, maka boleh duduk bersila. Jika tak kuasa juga duduk bersila, maka boleh melunjur kakinya ke arah Qiblat (sebaik² ada penghadang seperti dinding di hadapan). Jika tak kuat tulang belakang duduk lama, harus sandar ke dinding atau tiang atau sebagainya. Di sini kita lihat betapa luas kemurahan Allah Ta'ala Kurniakan keringanan bagi orang yang uzur solat sambil duduk.
Jika seseorang mendapati dia tak dapat langsung duduk di atas lantai walau apa cara pun, disebabkan kesakitan yang ditanggungnya dan dia hanya mampu duduk atas kerusi, maka ketika itu barulah dia harus duduk atas kerusi, pangkin, katil atau sebagainya.
Jika dia mampu duduk di atas lantai untuk mengerjakan satu rakaat, maka ketika itu dia wajib sempurnakan satu rakaat itu di dalam keadaan duduk atas lantai. Kemudian dia harus duduk di atas kerusi dan tunaikan baki rakaat.
3.0 Cara Solat Orang yang Mampu Berdiri Sebentar Sahaja:
(1) Berdiri tegak
(2) Lakukan Takbiratul Ihram berserta niat seperti biasa
(3) Baca Fatihah
(Jika dia tak kuasa berdiri lagi ketika sedang baca Al Fatihah, atau dia cuma dapat berdiri sekadar Takbir, maka dia harus duduk atas lantai dan sambung solatnya.)
Peringatan semula :
Jangan terus duduk atas kerusi. Jika mampu duduk di atas lantai dan sempurnakan solat, maka WAJIB duduk di atas lantai.*
(4) Sambung bacaan Fatihah sehingga selesai.
(jika bacaan Fatihah terhenti lama, mesti baca semula Fatihah dari awal kerana telah hilang muwalat)
(5) Untuk ruku' bongkokkan / tundukkan badan ke hadapan sekira2nya hampir dengan lutut jika mampu. Jika tak mampu bongkok ke paras tersebut, ikut kemampuan sahaja.
(6) Sujud atas lantai seperti biasa
(7) Duduk antara dua sujud
(8) Sujud kedua
(9) Bangun duduk tegak untuk rakaat kedua
Selepas ini, jika dia tak mampu bangun semula, dia harus teruskan solat sambil duduk di atas lantai sehingga selesai solatnya.
Catitan :
Pada bila2 masa, jika dia tak mampu sujud dengan meletakkan dahi di atas lantai, maka tatacara melakukan ruku' dan sujud adalah seperti berikut :
Untuk ruku' bongkokkan badan sedikit ke hadapan
Untuk sujud bongkokkan badan lebih rendah dari paras ruku' tadi
Perkara ruku' dan sujud di dalam keadaan masyaqqah (kepayahan) ini adalah mengikut kemampuan masing2. Jika seseorang hanya mampu bongkokkan badan sedikit, maka atur supaya paras ruku' dan sujud itu dibezakan ;
paras sujud mesti sentiasa lebih rendah dari paras ruku'
4.0 Cara Solat Orang Mampu Berdiri Tetapi Tak Mampu Duduk Atas Lantai:
(1) Berdiri tegak
(2) Lakukan Takbiratul Ihram berserta niat seperti biasa
(3) Baca Fatihah
(4) Ruku' seperti biasa
(5) I'tidal seperti biasa
(6) Untuk sujud bongkokkan badan lebih dari paras ruku' tadi
(7) Berdiri tegak semula dengan isyarat dan niat duduk antara dua sujud
(8) Sujud kedua — sama seperti perkara (5) di atas.
(9) Berdiri tegak untuk rakaat kedua
(10) Ulangi semua seperti di atas.
(11) Untuk tahiyyat awal dan tahiyyat akhir serta bacaannya, solawat atas Nabi pada penghujung Tahiyyat, kemudian salam. Semua ini dilakukan di dalam keadaan berdiri ( kerana tak mampu duduk di bawah)
Peringatan :
i. Sepertimana kita sudah jelaskan, semua hal keadaan Ini bagi orang yang tak mampu duduk atas lantai.
ii. Selalu ingat hal keadaan ruku' dan sujud bagi orang di dalam masyaqqah. (kepayahan) :
Untuk ruku' bongkokkan badan sedikit ke hadapan
Untuk sujud bongkokkan badan lebih rendah dari paras ruku' tadi
(Wajib di bezakan paras ruku' dan sujud )
Perhatian Penting - Kesalahan Sering Terjadi:
Kesalahan yang sering dilakukan oleh orang yang tak mampu sujud di atas lantai seperti biasa, ialah dia ruku' sambil berdiri kemudian untuk sujud, dia duduk atas kerusi dan bongkok badan ke depan. Ini cara yang salah dan batalkan solat kerana paras ruku' dan sujud menjadi sama. Sujud semestinya kena lebih daripada paras ruku'.
5.0 Cara Solat Duduk Atas Lantai:
Seseorang yang tak mampu langsung berdiri, maka dia harus solat sambil duduk atas lantai terus.
(1) Duduk iftirasy atau "tawarruk"
(2) Takbir Ihram
(3) Baca Surah Fatihah
Langkah2 seterusnya sama seperti yang di bincang pada perkara 3.0 di atas.
6.0 Cara Solat Duduk Atas Kerusi :
Sebagaimana telah disebutkan sebelum ini solat sambil duduk atas kerusi hanya dibenarkan bagi orang yang benar2 tak mampu solat berdiri setelah berusaha sungguh2 dan juga tak mampu duduk di bawah disebabkan suatu penyakit berat yang ditanggungnya atau kakinya tak mampu dilipat sehingga menyukarkan dia duduk di bawah. Maksudnya dia hanya mampu duduk atas kerusi, maka ketika itu barulah dibenarkan duduk di atas kerusi. Fahamilah asas ini dengan sungguh2.
Jika seseorang sengaja mencari kemudahan untuk Solat atas kerusi sedangkan dia mampu solat berdiri atau mampu solat duduk atas lantai, maka ketika itu solatnya TIDAK sah.
Cara2 Solat di atas kerusi bagi orang yang tak mampu berdiri dan tak mampu duduk atas lantai:
(1) Duduk tegak (jangan sandar jika mampu duduk tegak)
(2) Takbir Ihram berserta niat seperti biasa
(3) Baca Surah Fatihah
(4) Untuk ruku' bongkokkan badan sedikit
(5) Duduk tegak semula — niat i'tidal
(5) Untuk sujud bongkokkan lebih dari paras ruku'
(6) Duduk tegak — isyarat duduk antara dua sujud
(7) Sujud kedua sama seperti pada perkara (5) diatas
(8) Duduk tegak — isyarat untuk raka'at kedua
Ulangi semua sampai akhir nya tahiyyat akhir dan salam.
7.0 Perkara2 lain yang mengharuskan Solat duduk:
Selain daripada keringanan untuk Solat duduk yang diberikan kepada orang yang menganggung kesakitan yang kuat, orang tua yang tidak berdaya, orang yang mengalami kecederaan dsb, keringanan untuk Solat duduk juga diberikan kepada golongan berikut :
(i) Orang yang menaiki kenderaan dan khuatir akan tumbang — seperti perahu, bot kecil, keretapi laju dsb.
(ii) Orang yang menaiki kapal laut dan pening atau mabuk laut
(iii) Orang yang terasa goyang / melayang disebabkan makan ubat (kerana sakit) dan khuatir akan jatuh
8.0 Cara Solat Sunnat Atas Lantai :
Pada keseluruhan perbahasan di atas, Solat yang dibicarakan adalah Solat Fardhu. Ada pun Solat Sunnat maka diharuskan sambil duduk atas lantai. Walau bagaimanapun pahalanya separuh.
Maksudnya adalah :
Jika seseorang yang sihat badannya dan mampu solat seperti biasa ; dengan berdiri, ruku' dan lain2 dengan sempurna, tetapi dia Solat Sunnat sambil duduk, maka pahalanya separuh dari orang yang kerjakan solat sunnat seperti biasa berdiri, ruku' dan sujud dll
Lain halnya jika dia menanggung kesakitan dan tak mampu berdiri , lalu dia pun solat sunnat sambil duduk, maka pahalanya tetap penuh seperti orang yang solat berdiri, ruku', sujud seperti biasa.
Rujukan :
Minhaj — Imam Nawawi
Tuhfah — Imam Zakariyya Al-Ansari
Fathul Mu'in — Imam Zainuddin Al-Malbary
Sabil-Al- Muhtadin — Imam Ash-Shaikh Muhammad Arsyad Al Banjari
Fiqh Imam Syafi'ie — Shaikh Wahbah Zuhaili
( Catatan : Telah dikuliahkan dengan tunjukcara pada 2.2.2025 - Kuliah Pengajian Feqh )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan