BIMBINGAN BERSIRI : PENYAKIT HATI BAHAYA YANG TIDAK DISEDARI
Susunan
Shaikh Sayyid Abu Tohir
Mursyid Silsilah Naqsyabandiah Al-Kholidiyyah
بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Kemusykilan 4:
Menuduh tawassul sebagai syirik dan bid'ah sesat.
Setengah cerdik pandai zaman ini melemparkan tuduhan bahawa tawassul itu syirik, bid'ah sesat. Wal Iyazubillah.
Apakah pegangan Ahlus Sunnah?
JAWAPAN
Menurut pendirian Ahlus Sunnah, tawassul adalah harus, bahkan sesiapa tawasssul dengan menyebut Nama Rasulullah ﷺ atau menyebut nama Auliya Allah adalah menjadikan pekerjaan tersebut dilimpahi keberkatan dan kemuliaan.
Apakah makna tawasssul ?
Mengapakah Profesor, cerdik pandai Agama menuduh tawasssul sebagai syirik? Puncanya adalah kejahilan. Mereka tidak memahami pengertian tawasssul sebenar lalu sebarkan dakyah batil dan sesat.
Definisi Tawassul
=============
Dari segi bahasa:
Perkataan tawasssul (تَوَسُّل) berasal dari kata wa-sa-la (وَسَل) bermaksud: "jalan, alat, perkakas, medium"
Dari segi istilah:
Perkataan tawasssul (تَوَسُّل) adalah:
Memohon Pertolongan Allah dengan mengingat atau menyebut nama sesuatu yang di-Kasihi Allah.
Perhatikan perkataan ini.... "Memohon Pertolongan Allah...."
Ketika kamu tawassul dengan suatu yang di-Kasihi Allah maksudnya adalah: Kamu memohon Pertolongan Allah dengan keberkatan Rasulullah ﷺ atau kekasih Allah yang lain. Ia bukan bermaksud kamu i'tiqad bahawa para kekasih Allah itu berkuasa memberikan pertolongan kerana semua orang Islam sudah maklum, "Hanya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu" dan "Tiada daya upaya hanya Allah". Ini aqidah asas Ummat beriman.
Seseorang yang menyeru nama Rasulullah ﷺ atau nama Auliya Allah ketika menghadapi sesuatu kesulitan atau mengharap suatu pertolongan Allah seperti seseorang menyebut : "Ya Rasulullah" atau menyebut "Ya Abu Bakar". "Ya Ali", "Ya Muhyiddin Abdul Qodir Jilani" atau nama Auliya Allah yang lain, adalah ketika itu mereka sedang memohon pertolongan Allah melalui keberkatan para Kekasih Allah.
Dalil No. 1:
"Beberapa waktu selepas kewafatan Rasulullah ﷺ, Abdullah Ibnu Umar berada di Najd lalu suatu hari kaki beliau kebas. Seseorang berkata kepada beliau, "Ingat seseorang paling kamu cintai" Lalu Ibnu Umar berkata : "Ya Muhammad ( Ya Rasulullah) kemudian kaki beliau terus sembuh dari kebas."
[Imam Bukhari di dalam Kitab Adab Al-Mufrad]
[Imam Nawawi di dalam Al-Azkar]
[Imam Shaukani di dalam Tuhfah Az-Zakirin]
Dalil No. 2:
Imam Nawawi juga membawakan kisah yang sama seperti itu yang terjadi kepada Abdullah Ibnu Abbas.
"Abdullah Ibnu Abbas juga pernah terjadi keadaan yang sama seperti yang terjadi kepada Ibnu Umar, iaitu kaki beliau menjadi kebas. Seseorang berkata kepada beliau supaya ingat kepada seseorang yang paling beliau cintai, lalu Ibnu Abbas berkata: "Ya Rasulullah" kemudian kaki beliau yang kebas segera pulih.
[Imam Nawawi, Al-Azkar]
Kesimpulannya:
Imam-Imam Ahlus Sunnah yang membawa kisah-kisah tersebut berhujjah:
Inilah dalilnya harus menyeru nama Rasul atau para Wali Allah dengan sebutan Ya Muhammad, Ya Rasulullah, Ya Habibullah, Wahai Auliya Allah dan lainnya sebagai memohon kepada Allah dengan keberkatan para Kekasih Allah. Pokoknya permohonan itu adalah ditujukan kepada Allah sedangkan sebutan nama Rasul atau para Auliya Allah adalah "mengambil keberkatan mereka atas kemuliaan mereka" dan tidak sesekali i'tiqad bahawa mereka berkuasa memberikan pertolongan atau menolak mudarat.
Wallahu A'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan