بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم
Rumusan : Mengapa Orang Alim, Hafiz Qur’an, Imam Solat Terkena Gangguan Jinn Syaitan.
Di dalam segmen-segmen yang lalu, kami telah menyentuh beberapa perkara yang menjadi punca si abid (ahli ibadah), alim fiqh (orang yang mahir di dalam berbagai ilmu syari'at), Hafiz Qur'an, Imam solat juga terkena gangguan jinn syaitan sehingga sebahagiannya menjadi sesat atau fasiq atau rosak Imannya. Di sini kami menambah sedikit lagi dan menjadikan rumusan bagi sekalian ummat mengambil manfaat.
Pertama : Hilang ikhlas
Ikhlas adalah pintu qabul Iman dan Ibadah seseorang.
Ikhlas adalah benteng kukuh dari pencerobohan Iblis dan kuncu-kuncunya.
Apabila seseorang itu tiada ikhlas atau rosak ikhlasnya, maka rosaklah segala ibadahnya. Hilang musnahlah segala benteng dirinya. Inilah pintu awal bagi iblis dan kuncu-kuncunya memasuki hati manusia bagi merosak Iman dan segala ibadahnya.
Bahkan pintu halus ini juga menjadi lorong bagi jinn syaitan menyusup masuk ke dalam tubuhnya bagi menyebarkan penyakit-penyakit kronik yang akhirnya melumpuhkan segala ibadahnya.
Kedua : Campur aduk dengan Syirik Khafi
Apabila Iman dan Ibadah seseorang bercampur aduk dengan syirik khafi iaitu 'Ujub, Riya', Sum'ah, Takabbur dan bergantung hati kepada keupayaan diri, maka semua ini akan membawa kepada kecederaan dan kecacatan besar di dalam ibadahnya. Bahkan Iman atau Tauhidnya juga akan rosak.
Ketiga: Tiada zikir dalam hati
Zikrullah merupakan sumber utama penyucian HATI, amal ibadah yang paling terunggul, sumber terbesar pembinaan IMAN, benteng dan senjata TERHEBAT melawan Jinn syaitan.
Dengan mengekalkan Zikrullah di dalam HATI (zikir Allah Allah berterusan di dalam HATI) seseorang yang beriman akan memperoleh keteguhan Iman dan benteng diri dari segala macam ancaman nafsu dan kejahatan iblis.
Apabila seseorang lalai dari Zikrullah, maka Jinn syaitan mampu masuk ke dalam jantung dan salur darahnya bagi melakukan berbagai kecelakaan kepada tubuhnya.
Inilah sebabnya Kalam Allah yang pertama " اقْرَأْ " memerintahkan Zikrullah. Inilah Ibadah teragung yang diwajibkan keatas Ummat Islam sebelum Allah Ta'ala mewajibkan ibadah Syari'at lain-lainnya.... menunjukkan keutamaannya bagi setiap orang beriman!
Tetapi amat malang....! Pada zaman kemudian dari Sahabat Rasulullah ﷺ, Ibadah Zikrullah ini diabaikan oleh Ummat Islam sehinggalah pada saat ini, tak ramai yang mahu mengerjakan Zikrullah menurut Kaifiyyat, syarat dan adab-adabnya sebagaimana yang diwarisi dari Junjungan Rasulullah ﷺ. (Toriqat Rasulullah ﷺ). Mereka lebih gemar dan rasa puas hati sekadar amalkan Syari'at semata-semata dan abaikan Toriqat Rasul ﷺ.
Akibatnya terjadilah berbagai kesyirikan di dalam hati (syirik khafi) yang membawa kepada kesesatan atau kefasikan atau kerosakan IMAN. Wal Iyazubillah.
Keempat : Bacaan Qur'an hanya pada lidah, tak masuk ke hati
Di antara punca iblis dan syaitan mampu memasuki orang-orang yang Hafiz Qur'an sekalipun adalah kerana bacaan mereka hanya keluar dari "lidah" mereka dan BUKAN dari HATI yang suci.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Akan keluar di akhir zaman suatu kaum yang usia mereka masih muda, dan bodoh, mereka mengatakan sebaik‑baiknya perkataan manusia, membaca Al Qur’an tidak sampai kecuali pada kerongkongan mereka. Mereka keluar dari Deen (Islam) sebagaimana anak panah keluar dari busurnya.”
[Imam Bukhari dan Imam Muslim)
... bersambung اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ
SUMBER:
MENGAPA ORANG ALIM, HAFIZ QURAN, IMAM SOLAT TERKENA GANGGUAN JINN & SYAITAN
Susunan
Shaikh Sayyid Abu Tohir
Mursyid Silsilah Naqsyabandiah Al-Kholidiyyah
Nur Qalbi
🍀🌹🌹🌹🍀
🍀🌹🌹🌹🍀
Tiada ulasan:
Catat Ulasan