Isnin, 23 Disember 2024

SIRI AKHIR : RAWATAN & PENAWAR - RUMUSAN (2)

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


sambungan....


Kelima : Iman pada lidah bukan pada hati

Maksudnya adalah :  Iman mereka tak masuk ke hati.  Walaupun mereka sudah bergelar Alim (fiqh), atau mempunyai gelaran-gelaran dunia seperti PhD, Drs, Masters dsb,  atau  mereka menjawat berbagai jawatan sebagai Mufti, Qadhi, Ahli fatwa dan sebagainya  atau mereka menduduki kerusi jabatan-jabatan Agama yang hebat... namun mereka hanya Islam, belum benar-benar beriman,... IMAN belum masuk ke dalam hati mereka.   Golongan-golongan ini amat mudah terikut-ikut bisikan jinn syaitan. 

Jika ada yang bertanya, adakah mungkin orang alim (fiqh) yang mahir di dalam berbagai disiplin ilmu Agama, Hafiz Qur'an, penghafal Hadith, petah bersyarah agama boleh menjadi orang yang lemah Imannya, atau lebih buruk lagi menjadi sesat ?   Maka jawapannya sudah terbukti di dalam Firman Allah dan Hadith Rasul .  

Bahkan bukti nyata yang amat jelas berdasarkan Sejarah Ummat adalah  "Alim Ulama"  yang terkeluar dari Ahlus Sunnah dan menjadi sesat seperti Khawarij (wahhabiyyah zaman ini), Syi'ah (rafidhi), Mu'tazilah, Jabariyah, Mujassimah dan lain-lainnya. Merekalah pelopor Golongan sesat. Wal Iyazubillah.     

Walaupun mereka petah bersyarah Agama dengan berbagai Hadith Rasulullah ,   kelihatan hebat mengerjakan solat, berpuasa dan lain-lain, namun mereka telah terkeluar dari Agama bagaikan "panah yang keluar dari busurnya", ertinya tiada akan kembali kepada Keimanan.    Demikianlah tipu daya halus iblis kepada orang-orang berilmu pada zahir sahaja sedangkan batinnya kosong. Wal Iyazubillah.


Keenam : Tidak  Berserta Jama'ah — Ahlus Sunnah yang benar (tulen)

Setiap Muslim diperintah berserta kelompok terbesar Ummat iaitu Ahlus Sunnah Wal Jama'ah yang benar (tulen), kerana merekalah satu-satunya golongan yang dijamin selamat dan terpelihara daripada syaitan.  Apabila mereka jauhi jamaah Ummat Islam yang umum maka mereka akan terdedah kepada bisikan dan tarikan jinn syaitan.

 

Rasulullah  bersabda:

 “Aku berwasiat kepada kamu untuk mengikuti sahabat-sahabatku, kemudian mengikuti orang-orang yang datang setelah mereka, kemudian mengikuti yang datang setelah mereka.”  Dan termasuk rangkaian hadith ini:  “Tetaplah bersama al-Jama’ah dan jauhi perpecahan kerana syaitan akan  menyertai orang yang sendiri.  Dia (syaitan) dari dua orang akan lebih jauh, maka barang siapa menginginkan tempat lapang di syurga hendaklah ia berpegang teguh pada al-Jama’ah”.

[Imam Tirmizi,  Imam Al-Haakim]

 

Rasulullah  bersabda:

“Sesungguhnya serigala hanya akan menerkam domba yang sendirian.”

[Imam Abu Dawud]

 

Ketujuh : Tiada pimpinan Guru Mursyid yang siddiq

Telah sepakat sekalian Ulama Mu'tabar, Ulama Ahlus Sunnah bertaraf Auliya Allah bahawa setiap orang Islam WAJIB mempunyai pemimpin keruhanian yang memimpin kepada Allah Ta'ala.  Meskipun dia seorang yang sudah bergelar Profesor, Drs, alim fiqh, dan lain-lain tetap WAJIB (fardhu Ain) baginya memperoleh pimpinan Mursyid yang Siddiq bagi menyucikan batinnya daripada segala kekejian hati dan membentengi diri daripada bisikan-bisikan halus nafsu dan jinn syaitan.  

 

Jika seseorang Islam TIDAK mempunyai seorang Mursyid yang Siddiq memimpinnya kepada Allah Ta'ala, maka dikhuatiri dia akan dipimpin oleh syaitan ke gerbang iblis sedang dia tidak sedar dia telah jatuh kepada tipu daya halus iblis.

 

Berkata Imam Ghazali Radhiallahu anhu :

"Jalan agama sangatlah samar, (tak dapat bezakan haq dan batil) dan jalan-jalan syaitan sangat banyak dan jelas (terbuka luas untuk dimasuki oleh siapa sahaja).  Oleh kerana itu, jika seseorang yang tidak mempunyai Shaikh (Mursyid yang Siddiq) yang membimbingnya, maka pasti syaitan akan menggiringnya (memimpinnya) menuju jalannya (jalan iblis - kepada kesesatan).  Barangsiapa berjalan di jalan yang berbahaya tanpa petunjuk,  maka dia telah menjerumuskan dan membinasakan dirinya.

[Ihya Ulumuddin]

 

(Perbahasan lanjut berkenaan hal ini boleh didapati dari Risalah kami "Mursyid yang Siddiq, Pemimpin Ahlus Sunnah dan Pewaris Nabi yang sebenar")

 

Demikianlah kami paparkan secara ringkas satu daripada empat macam  afaat (halangan atau gangguan atau kebinasaan) iaitu gangguan iblis yang sentiasa membayangi manusia dan menariknya jauh daripada Jalan Allah, dan pimpin mereka masuk ke jalan-jalan kefasikan, kesesatan atau kekufuran.  

Renungkanlah dan mohon petunjuk Allah.

 

Moga bermanfaat.

 

 SUMBER:

MENGAPA ORANG ALIM, HAFIZ QURAN, IMAM SOLAT TERKENA GANGGUAN JINN & SYAITAN

Susunan

Shaikh Sayyid Abu Tohir
Mursyid Silsilah Naqsyabandiah Al-Kholidiyyah 


 

 

    Nur Qalbi

🍀🌹🌹🌹🍀

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ahad, 22 Disember 2024

RAWATAN & PENAWAR - RUMUSAN (1)

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


Rumusan : Mengapa Orang Alim, Hafiz Qur’an, Imam Solat Terkena Gangguan Jinn  Syaitan.

 

Di dalam segmen-segmen yang lalu, kami telah menyentuh beberapa perkara yang menjadi punca si abid (ahli ibadah), alim fiqh (orang yang mahir di dalam berbagai ilmu syari'at), Hafiz Qur'an, Imam solat juga terkena gangguan jinn syaitan sehingga sebahagiannya menjadi sesat atau fasiq atau rosak Imannya.  Di sini kami menambah sedikit lagi dan menjadikan rumusan bagi sekalian ummat mengambil manfaat.

 

Pertama : Hilang ikhlas

Ikhlas adalah pintu qabul Iman dan Ibadah seseorang.  

Ikhlas adalah benteng kukuh dari pencerobohan Iblis dan kuncu-kuncunya.  

Apabila seseorang itu tiada ikhlas atau rosak ikhlasnya, maka rosaklah segala ibadahnya. Hilang musnahlah segala benteng dirinya.  Inilah pintu awal bagi iblis dan kuncu-kuncunya memasuki hati manusia bagi merosak Iman dan segala ibadahnya.  

Bahkan pintu halus ini juga menjadi lorong bagi jinn syaitan menyusup masuk ke dalam tubuhnya bagi menyebarkan penyakit-penyakit kronik yang akhirnya melumpuhkan segala ibadahnya.

 

Kedua : Campur aduk dengan Syirik Khafi

Apabila Iman dan Ibadah seseorang bercampur aduk dengan syirik khafi iaitu 'Ujub, Riya', Sum'ah, Takabbur dan bergantung hati kepada keupayaan diri, maka semua ini akan membawa kepada kecederaan dan kecacatan besar di dalam ibadahnya.  Bahkan Iman atau Tauhidnya juga akan rosak. 


Ketiga: Tiada zikir dalam hati

Zikrullah merupakan sumber utama penyucian HATI, amal ibadah yang paling terunggul, sumber terbesar pembinaan IMAN,   benteng dan senjata TERHEBAT melawan Jinn syaitan. 

 

Dengan mengekalkan Zikrullah di dalam HATI (zikir Allah Allah berterusan di dalam HATI) seseorang yang beriman akan memperoleh keteguhan Iman dan benteng diri dari segala macam ancaman nafsu dan kejahatan iblis. 

Apabila seseorang lalai dari Zikrullah, maka Jinn syaitan mampu masuk ke dalam jantung dan salur darahnya bagi melakukan berbagai kecelakaan kepada tubuhnya.

Inilah sebabnya Kalam Allah yang pertama "   اقْرَأْ  "   memerintahkan Zikrullah.  Inilah Ibadah teragung yang diwajibkan keatas Ummat Islam sebelum Allah Ta'ala mewajibkan ibadah Syari'at lain-lainnya.... menunjukkan keutamaannya bagi setiap orang beriman!

Tetapi amat malang....!  Pada zaman kemudian dari Sahabat Rasulullah ,  Ibadah Zikrullah ini diabaikan oleh Ummat Islam sehinggalah pada saat ini, tak ramai yang mahu mengerjakan Zikrullah menurut Kaifiyyat, syarat dan adab-adabnya sebagaimana yang diwarisi dari Junjungan Rasulullah . (Toriqat Rasulullah   ).  Mereka lebih gemar dan rasa puas hati sekadar amalkan Syari'at semata-semata dan abaikan Toriqat Rasul .  

Akibatnya terjadilah berbagai kesyirikan di dalam hati (syirik khafi) yang membawa kepada kesesatan atau kefasikan atau kerosakan IMAN.   Wal Iyazubillah.

 

Keempat :  Bacaan Qur'an hanya pada lidah, tak masuk ke hati

Di antara punca iblis dan syaitan mampu memasuki orang-orang yang Hafiz Qur'an sekalipun adalah kerana bacaan mereka hanya keluar dari "lidah"  mereka dan BUKAN dari HATI yang suci.

 

Rasulullah  bersabda:

“Akan keluar di akhir zaman suatu kaum yang usia mereka masih muda, dan bodoh, mereka mengatakan sebaikbaiknya perkataan manusia, membaca Al Qur’an tidak sampai kecuali pada kerongkongan mereka. Mereka keluar dari Deen (Islam) sebagaimana anak panah keluar dari busurnya.”

[Imam Bukhari dan Imam Muslim)



 ... bersambung اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


SUMBER:

MENGAPA ORANG ALIM, HAFIZ QURAN, IMAM SOLAT TERKENA GANGGUAN JINN & SYAITAN

Susunan

Shaikh Sayyid Abu Tohir
Mursyid Silsilah Naqsyabandiah Al-Kholidiyyah 


 

 

    Nur Qalbi

🍀🌹🌹🌹🍀

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Sabtu, 21 Disember 2024

RAWATAN & PENAWAR (7) - ORANG AWAM

بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


sambungan....


Amal Ibadah Untuk Membenteng Diri Dari Serangan Jinn Syaitan Kepada Tubuh Badan Dan Sistem Biologi.

 

🌷Pertama: Penjagaan ketika hubungan.

Penjagaan pertama bagi manusia daripada gangguan jinn syaitan adalah ketika hendak "bermulanya kehidupan baru bagi insan" iaitu ketika akan terjadi pertemuan antara benih kedua ibu bapa. Maka Rasulullah  memerintahkan agar pertemuan itu dipelihara daripada gangguan jinn syaitan dengan doa mohon pertolongan Allah Ta'ala.

 

Rasulullah  bersabda:

 

لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا‏.‏ فَقُضِيَ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ، لَمْ يَضُرَّهُ ‏"‌‏.‏

 

"Jika seorang dari kamu mendatangi ahlinya (mendatangi isterinya untuk jimak), maka bacalah :  

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا

(Dengan Nama Allah.  Ya Allah jauhkanlah kami dari syaitan.  Dan jauhkanlah  syaitan dari barang yang Engkau Kurniakan rezeki kepada kami.)  Maka jika Allah Ta'ala Kurniakan bagi keduanya anak, nescaya tidak boleh dirosakkannya oleh syaitan buat selama-lamanya."

[Imam Bukhari]

 

🌷Ke-2: Penjagaan ketika di dalam kandungan. 

Baca ayat pendinding dan pelindung dari gangguan jinn syaitan yang thabit dari berbagai Hadith Rasulullah  .

(1) Suratul Fatihah 1x

(2) Suratul Ikhlas 3x

(3) Surah Al Falaq 1x

(4) Surah An-Nas 1x

(5) Ayat Kursi 7x

Setelah dibaca tiup pada kedua tangan dan sapu pada perut isteri.

 

🌷Ke-3: Penjagaan semasa anak dilahirkan. 

Pastikan kalimat yang pertama yang bayi itu dengar adalah Kalimah Tauhid.  Mudah-mudahan menjadi anak yang beriman, soleh dan Taqwa.

(1)  Azan di telinga kanan

(2)  Iqamah di telinga kiri

 

kemudian baca ....

(1)  Suratul Fatihah 1x

(2)  Suratul Ikhlas 3x

(3)  Surah Al Falaq 1x

(4) Surah An-Nas 1x

(5) Ayat Kursi 7x

(6) Baca doa perlindungan dari gangguan jinn syaitan, binatang bisa dan dari penyakit Al-'Ain....

 

 أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ ، وَمِنْ شَرِّ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ  "   

(baca sebanyak 3x )

 

Setelah selesai baca semua atas,  tiuplah  pada ubun-ubun anak dan kemudian tiup ke seluruh tubuhnya.  Lakukan amalan ini setiap pagi dan setiap malam, in shaa Allah bayi itu takkan dapat diganggu oleh jinn syaitan dan selamat dari “pandangan mata jahat” yang boleh membawa kepada penyakit Al-'Ain.  

 

Rasulullah  bersabda:

أُعِيذُكُمَا بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ ، وَمِنْ شَرِّ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ

 "Aku memperlindungkan kamu berdua dengan kalimat-kalimat Allah yang Maha Sempurna daripada sekalian syaitan dan binatang berbisa dan setiap mata yang dengki.”

[ Imam Abu Dawud, Imam Ibn Majah, Imam Tirmizi]

 

Pandangan "mata jahat" atau pandangan "mata dengki" adalah pandangan seseorang yang memandang orang lain dengan pandangan yang berlawanan dengan Tauhid, iaitu syirik — sama ada dia memandang seseorang dengan pandangan ta'jub (hairan) atau pandangan "khianat"  atau  "dengki" maka pandangan yang "berbentuk syirik" ini boleh mengakibatkan penyakit pada orang didengkikan atau orang yang dipuji tanpa Tauhid.

Penyakit Al-'Ain (akibat pandangan mata jahat) boleh membawa berbagai penyakit misteri dan kronik.  Antaranya sawan, penyakit mental, penyakit kulit dan bermacam penyakit yang tiada rawatan doktor moden, hanya dapat dirawat dengan ruqyah cara Islam, khususnya Ahli Ma’rifat.  Oleh kerana inilah  Rasulullah   berpesan supaya lindungi anak-anak dan juga diri sendiri dengan doa perlindungan ini. (Bab penyakit akibat pandangan mata jahat ini mempunyai huraian yang panjang.  In Shaa Allah akan dijelaskan dalam satu bab yang tersendiri)

 

🌷Ke-4: Penjagaan bagi diri sendiri dan sekalian ahli keluarga.

 

(1) Amalkan wirid benteng diri setiap pagi dan setiap malam.

(2) Lazimkan zikir La-Ilaha Illallah sebanyak mungkin dan himpunkannya kepada sekalian ahli keluarga.

(3) Lazimkan solawat atas Nabi sebanyak mungkin dan himpunkannya kepada sekalian ahli keluarga.

(4) Lazimkan istighfar mohon keampunan Allah untuk diri sendiri dan anak isteri.

 

Semoga dengan mematuhi panduan-panduan ini, diri sendiri dan sekalian ahli keluarga selamat dari  gangguan jinn syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk menyerang mereka.

 

📍Persoalan:  

Bagaimanakah sekiranya seseorang atau sesebuah keluarga terkena juga gangguan jinn syaitan ini walaupun mereka telah melazimi mengamalkan semua wirid-wirid tersebut?

🔆Jawapan:  

Sebenarnya perkara inilah antara mesej terpenting yang  ingin kita sampaikan di dalam Risalah ini.... iaitu mereka yang lazimnya mengerjakan solat, puasa, baca Qur'an dan lain-lain terkena gangguan jinn syaitan.  Bahkan setengah Hafiz Qur'an, Imam solat dan orang alim fiqh juga tidak terlepas dari gangguannya.

Mereka yang terkena juga gangguan jinn syaitan sehingga terjadi berbagai penyakit kronik dan misteri, tiada jalan lain melainkan perlu mencari Ahli Ma’rifat, Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq untuk mengambil rawatan.


Moga Allah Tunjukkan Jalan



... bersambung اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ


SUMBER:

MENGAPA ORANG ALIM, HAFIZ QURAN, IMAM SOLAT TERKENA GANGGUAN JINN & SYAITAN

Susunan

Shaikh Sayyid Abu Tohir
Mursyid Silsilah Naqsyabandiah Al-Kholidiyyah 


 

 

    Nur Qalbi

🍀🌹🌹🌹🍀

RAWATAN & PENAWAR (6) - ORANG AWAM

 بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم

اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


AMALAN dan CARA BENTENG DIRI - ORANG AWAM

 

Orang awam yang tiada pimpinan Mursyid Pewaris Nabi yang Siddiq lebih perlu  waspada dan berusaha lebih keras untuk menjauhkan gangguan jinn syaitan berbanding dengan murid pada Jalan Ma’rifat kerana mereka perlu hadapi serangan jinn syaitan sendirian.

 

Orang awam boleh  mengikuti langkah-langkah berikut bagi mengurangkan gangguan jinn syaitan ke tahap minima.  Mereka perlu persiapkan diri dengan dua macam benteng diri bagi menghadapi dua jenis serangan iblis:


 (1) Ikhlas di dalam setiap amal kebaikan.

Ketika melakukan apa jua ibadah —  solat, puasa, zakat, sedekah, da'wah, melakukan kebajikan membantu orang lain dan lainnya pastikan ikhlas, dan kekal ikhlas semata-mata mencari wajah Allah  (keredhaan Allah).  Orang yang benar-benar ikhlas TIDAK mampu disesatkan oleh iblis dan kuncu-kuncunya.

 

Bagi orang awam, sekurang-kurang ikhlas adalah niat segala sesuatu "Lillahi Ta'ala" — semata-mata ubudiyyah kerana Allah.  Bukan kerana benda duniawi atau benda ukhrawi, tetapi hanya Allah semata-mata.

 

Jangan sesekali berubah niat di dalam amal.  Jika datang niat-niat yang menyimpang dari ubudiyyah kepada Allah Ta'ala hendaklah segera palingkannya kepada Allah.  Jika tidak, syaitan akan masuk membisikkan berbagai kejahatan dan penyelewengan dan kesesatan.  Untuk itu, hendaklah memeriksa niat dan waspada pada tiga tempat supaya ikhlas tetap kukuh dalam hati:

 

🍁Pertama :  Di awal melakukan amal ibadah atau amal kebaikan.

 

🍁Kedua   :  Di pertengahan amal ibadah atau amal kebaikan.

 

🍁Ketiga   :  Di penghujung amal ibadah atau amal kebaikan.

 

Jika seseorang dapat memelihara niatnya pada tiga keadaan atau tempat di dalam melakukan ibadah, maka selamatlah dia dari bisikan dan tipu daya syaitan.

 

(2) Sungguh-sungguh mengerjakan Zikrullah.

🍀Pertama : Zikrullah iaitu Zikir akan nama Allah dengan suara keras berserta ingatan dalam hati 

atau 

🍀Kedua : Zikir dalam hati semata-mata (Ingat Allah dalam hati semata-mata tanpa sebutan lisan).  

Kedua-dua jenis Zikir ini dapat hapuskan bisikan jinn syaitan dan menghambatnya jauh-jauh.  Bahkan menurut Ahli Ma'rifat,  jinn syaitan takkan mampu menghampiri hamba Allah yang teguh mengerjakan Zikrullah sehingga hatinya bercahaya dengan Cahaya Zikrullah.  

Namun yang kedua ini hanya mampu dilakukan oleh Salikin yang mengikut seorang Mursyid yang Siddiq.

Berkata Ibn 'Abbas Radhiallahu anhu:

"Maksudnya syaitan duduk bertenggek pada hati manusia.  Apabila manusia lupa dan lalai (dari mengingati Allah) dia akan membisikkan (kejahatan).  Apabila berzikir ingat Allah, syaitan lari mengecut."

 

(3) Selalu hadir Majlis Zikir dan Majlis Solawat.

Majlis Zikir dan Majlis Solawat atau Majlis Maulid Nabi diliputi Rahmat dan Limpahan Cahaya Ketuhanan.  In shaa Allah dengan menyertai majlis-majlis ini, sedikit sebanyak seseorang akan terhindar dari bisikan-bisikan syaitan.

 

(4) Selalu hadir Majlis Ilmu Ahlus Sunnah.

Dengan menghadiri Majlis Pengajian Ilmu Ahlus Sunnah, seseorang akan dapat menambah pengetahuan yang benar berhubung dengan pendirian Ahlus Sunnah  dan terbeza baginya Golongan sesat atau Ahlus Sunnah PALSU.

 

Demikianlah beberapa langkah terbaik yang patut dijadikan pedoman oleh orang-orang awam yang belum memperoleh pimpinan seorang Mursyid yang Siddiq.  Mudah-mudahan  memperoleh keselamatan dari gangguan dan muslihat jinn syaitan yang sangat halus. 

 

 

... bersambung اِ نْ شَآ ءَ اللّهُ



SUMBER:

MENGAPA ORANG ALIM, HAFIZ QURAN, IMAM SOLAT TERKENA GANGGUAN JINN & SYAITAN

Susunan

Shaikh Sayyid Abu Tohir
Mursyid Silsilah Naqsyabandiah Al-Kholidiyyah 


 

 

    Nur Qalbi

🍀🌹🌹🌹🍀

Imam Mahdi Alaihis-Salam (akhir)

  بِسْــــــــــــــــــمِ ﷲ الرَّحْمَنِ الرحيم اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ . ..... sambongan......... (11) Salah ...